Ah Boy lepas rindu peluk anak, isteri

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SUNGAI UDANG 22 Februari – “Pengalaman pertama kali berpisah dengan keluarga adalah perkara yang amat sukar untuk saya lalui di sini.

“Selepas tujuh bulan akhirnya saya berpeluang memeluk anak dan isteri, terasa lepas rindu yang ditanggung,” itu kata penghuni Penjara Sungai Udang yang dikenali sebagai Ah Boy.

Ah Boy, 32, antara 11 orang penghuni penjara yang dipilih menyertai Program Jalinan Kasih Sempena Hari Perayaan Tahun Baru Cina 2024, hari ini.

Menurutnya, akibat kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dia kini perlu menjalani hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan yang menyebabkan dirinya terpaksa berpisah dengan isteri dan empat anak.

“Sebelum ini isteri ada datang melawat tetapi kami hanya dapat berkomunikasi melalui interkom sahaja tidak sangka hari ini dapat juga bertemu empat mata dengan keluarga.

“Jujurnya saya amat merindui anak-anak dan sambutan Tahun Baru Cina kali ini juga adalah yang pertama saya tidak dapat meraikan bersama keluarga, ianya sungguh sedih,” katanya.

Menurutnya, sebak dan terharu dengan sokongan keluarga terutamanya isteri yang tidak henti memberi semangat, dia nekad untuk berubah apabila dibebaskan kelak.

“Sebelum ini, mungkin saya terlalu mengikut kata hati sehingga terbabit dengan aktiviti jenayah namun kini saya cuba berubah demi keluarga.

“Program diadakan Jabatan Penjara ini amat baik dalam membantu kami penghuni penjara mendapat sokongan daripada ahli keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1038
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka perlu tunjuk komitmen tinggi
Next post 30,000 serbu Jonker Walk
Ubah saiz-+=