20 Februari: Sektor pelancongan terima pulangan RM6 juta

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Februari – Sektor pelancongan Melaka menerima pulangan bernilai RM6 juta hasil daripada kemasukan percuma ke 11 destinasi tumpuan negeri ini pada cuti umum Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, 20 Februari lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif Kerajaan Negeri itu memberi manfaat kepada semua pemain industri tanpa mengira mereka adalah pengusaha kecil atau besar.

Ab Rauf berkata, lebih 160,000 pengunjung dan pelancong direkodkan melawat Negeri Melaka pada tarikh berkenaan dengan 109,742 menikmati kemasukan percuma ke destinasi terpilih.

“Kemasukan percuma di 11 lokasi pelancongan pada 20 Februari lalu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM2.6 juta.

“Antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong adalah Zoo Melaka dengan kemasukan seramai 30,510 orang; Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dengan kemasukan seramai 28,648 orang dan yang paling tidak saya sangka dengan 11,371 orang ke Muzium Penjara Malaysia di Banda Hilir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Memancing Sungai Melaka dan Memasak Ikan Air Tawar/ Sungai 2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan sejak dilancarkan pada 1 Januari lalu, Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) merekodkan peningkatan pelancong sebanyak 50 peratus.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk mengangkat program tawaran masuk percuma sebagai acara tahunan Ab Rauf berkata, perkara tersebut perlu melalui kajian terperinci.

“Kita belum menentukan, kalau mahu buat tiap-tiap tahun kena buat kajian terperinci kerana ia melibatkan banyak lokasi dan pelbagai aspek yang perlu diambil kira,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

685
Kongsi :
Previous post Suri rumah lesap RM181,650 akibat ‘phone scam’
Next post Pertandingan memancing di Pantai Puteri Julai ini
Ubah saiz-+=