20 tahun tunggu lesen sampan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PANTAI KUNDOR 7 Julai – Terpaksa menunggu antara lapan hingga 20 tahun, hanya lafaz syukur diucapkan sembilan nelayan di Pantai Puteri apabila mendapat Lesen Khas Sampan Negeri Melaka, hari ini.

Nelayan veteran, Misran Nawi, 72, berkata dia mencari rezeki di laut sejak berusia 18 tahun iaitu ketika Allahyarham Tun Ghafar Baba menjadi Ketua Menteri Melaka.

MISRAN

“Semasa Allahyarham (Ghafar) masih Ketua Menteri pada 1967 sebelum berhijrah ke Kerajaan Pusat, saya sudah menjadi
awak-awak.

“Selepas ada perahu dan peralatan menangkap ikan sendiri, saya mula memohon lesen perahu 20 tahun lalu dan alhamdulillah,  Allah memurahkan rezeki saya kali ini,” katanya ditemui di pejabat Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor di sini.

Misran berkata, dia dan anaknya, Mohd Firdaus, 27, menggunakan jaring hanyut, jaring bawal dan rawai sebagai peralatan utama menangkap ikan.

MISRAN (kanan) dibantu cucu saudaranya mengangkat jaring dalam perahunya di pangkalan nelayan Kampung Pantai Kundor, di Pantai Puteri Tanjung Kling.

Seorang lagi nelayan, Razali Zakaria, 45, berkata, dia amat bersyukur menerima berita gembira itu dan tidak sabar untuk ke Jabatan Perikanan untuk mengambil lesen berkenaan.

“Alhamdulillah, selepas menunggu 10 tahun, saya dan awak-awak kini tidak perlu bimbang lagi turun ke laut kerana sudah ada lesen sampan.

“Sebelum ini setiap kali turun ke laut, kami sentiasa dibelenggu kebimbangan ditahan oleh Jabatan Perikanan atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kerana tidak memiliki lesen,” katanya.

Mereka antara tujuh daripada sembilan nelayan berusia antara 40 hingga 72 tahun yang hadir dalam taklimat oleh Ketua Jaringan Nelayan Pantai Puteri, Azmi Leman, 50, di JAPERUN berkenaan.

Difahamkan, kecuali Misran dan Razali, tujuh nelayan lain terpaksa menunggu antara lapan hingga 13 tahun untuk mendapat lesen sampan bagi mencari rezeki di laut.

Sementara itu, Azmi berkata, pemberian lesen itu rezeki nelayan terbabit selepas bersabar menunggu permohonan mereka diluluskan Jabatan Perikanan mengikut skim Lesen Sampan Khas Negeri Melaka.

“Mereka (nelayan) dikehendaki hadir di pejabat Jabatan Perikanan negeri di Batu Berendam dengan membawa dokumen lengkap untuk mengambil lesen masing-masing hari ini atau bila-bila mereka ada kelapangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

805
Kongsi :
Previous post 340,043 jumlah pemberian vaksin tertinggi di Malaysia
Next post Melaka perkenal pandu lalu makanan percuma
Ubah saiz-+=