Melaka perkenal pandu lalu makanan percuma

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 7 Julai – Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka bakal menyalurkan bantuan makanan secara pandu lalu menerusi program ‘laluan kulinari pelancongan’dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di kesemua enam parlimen, setiap satu dibekalkan dengan 300 pek makanan.

Katanya, inisiatif itu diharap membantu rakyat Melaka yang terkesan untuk mendapatkan bekalan makanan setiap hari sepanjang pandemik COVID-19.

“Kita sedang rencanakan laluan ‘kulinari pelancongan’ yang mana kita akan bekalkan makanan yang siap dimasak kepada rakyat di Negeri Melaka.

“Ia akan dilaksanakan di enam parlimen yang mana terdapat lorong atau laluan tertentu khususnya dalam kawasan pelancongan utama di negeri ini.

“Kita akan masak makanan kemudian letakkan makanan itu untuk mereka (rakyat) ambil secara pandu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas pelancaran Kempen Promosi Melaka E-Bazar ‘Buy Now, Travel Later’ di pejabatnya di Seri Negeri hari ini.

Katanya, selain memfokuskan sektor pelancongan usaha itu juga sebagai kebajikan membantu rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Insya-Allah dalam masa sebulan kita akan lancarkan program ini dan saya yakin ia akan mendapat sambutan rakyat Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata BPP juga dalam usaha menghidupkan kembali sektor pelancongan melalui kaedah pelancongan maya.

“Rakyat Malaysia khususnya di Melaka boleh membayar pada kadar yang rendah iaitu RM5 dan boleh menerokai produk pelancongan di negeri ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post 20 tahun tunggu lesen sampan
Next post Peguam ‘bela’ kebajikan masyarakat menerusi #GobokJeki
Ubah saiz-+=