Peguam ‘bela’ kebajikan masyarakat menerusi #GobokJeki

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Menyedari ramai dalam kalangan rakyat terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang peguam tampil mewujudkan program #GobokJeki bagi membantu insan memerlukan.

Norfazlinda Alimad, 36 berkata, idea itu tercetus menerusi rakannya Noorul Diyana Azahar, 36, sebelum mereka mengumpulkan dana sendiri awal bulan ini bagi merealisasikan program gerobok rezeki itu.

Katanya, sejak minggu lalu mereka mula mendapat bantuan dana daripada orang perseorangan termasuk keluarga dan sahabat-handai untuk program tersebut.

Beliau berkata, untuk pusingan pertama minggu lalu, 10 kotak makanan asas telah diagihkan kepada penerima dan kini mereka memasuki fasa pusingan kedua untuk membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan.

“Konsep bantuan mudah sahaja, sesiapa sahaja yang menghubungi kami menerusi Whatsapp akan dibantu.

“Kami hanya meminta nama dan alamat dan selepas itu hantar barangan terbabit kepada keluarga yang telah diluluskan.

“Kami tidak amalkan konsep soal selidik kepada mereka yang meminta bantuan, bahkan kami juga tidak akan mengambil gambar semasa menghantar bantuan.

“Kami lebih selesa bekerja tanpa dikenali sesiapa pun dan bantuan ini akan diteruskan selagi mempunyai peruntukan untuk membantu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Norfazlinda mengakui sejak memulakan program itu dan dibantu promosi oleh satu laman di Facebook, semakin ramai masyarakat tampil meminta bantuan.

Namun, dek kekurangan dana dan tenaga kerja selain kekangan tugas, mereka perlu mengutamakan pihak yang lebih awal minta dibantu.

“Rata-rata yang menghubungi kami memohon bantuan susu anak dan lampin pakai buang selain bekalan makanan.

“Setakat hari ini, kami belum menerima permintaan yang pelik-pelik seperti mahukan jenama tertentu dan sebagainya, sebaliknya mereka hanya menyatakan apa diperlukan sahaja,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

860
Kongsi :
Previous post Melaka perkenal pandu lalu makanan percuma
Next post Legenda Bollywood Dilip Kumar meninggal dunia
Ubah saiz-+=