Sorting by

×

200 PEKERJA TINGGAL DI KONTENA DAIF

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER MOLEK 31 Julai – Bukan sahaja daif malah penginapan pekerja di sebuah tapak pembinaan berhampiran Tambak Paya, di sini, yang menempatkan kira-kira 200 orang pekerja turut berada dalam keadaan kotor.

Situasi itu dikesan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang diketuai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, hasil serbuan mendapati majikan menyediakan empat blok rumah kontena dua tingkat jenis kabin untuk penginapan pekerja.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut keatas premis itu mendapati ia berada dalam keadaan daif dan kotor selain semakan dilakukan turut mendapati penginapan itu tiada sebarang perakuan penginapan mengikut Seksyen 24D Akta 446.

“Antara pelanggaran lain yang dikesan adalah tidak menyediakan kemudahan minimum penginapan seperti tilam yang nipis, katil dan tiada almari berkunci termasuk tandas dan ruang dapur yang sangat kotor.

“Malah keadaan bilik mandi pekerja juga didapati berkeadaan terbuka meskipun difahamkan terdapat pekerja wanita yang menghuni di situ.

“Semakan lanjut dijalankan oleh JTK juga mendapati pihak majikan pernah membuat permohonan untuk mendapatkan perakuan tetapi ditolak,” katanya selepas mengetuai operasi yang turut dihadiri Pengarah JTK Melaka Naziyah Said, hari ini.

Menurutnya, JTK akan membuka kertas siasatan bagi kesalahan yang telah ditemukan selain rakaman percakapan pekerja serta majikan juga telah diambil bagi tujuan kertas siasatan.

“Selain itu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut mengeluarkan dua kompaun selepas mendapati kedai makan dan runcit beroperasi tanpa lesen selain kebersihan keseluruhan tapak tidak terjaga.

“Manakala Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah turut membuat dua pungutan (jentik-jentik) di tempat pembiakan nyamuk dan mengeluarkan arahan pembersihan dibawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975,” katanya.

Hee Sem berkata, operasi dan pemeriksaan akan terus dilakukan JTK dalam memastikan majikan menyediakan penginapan pekerja memenuhi kehendak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post 569 GRADUAN KOLEJ KOMUNITI MELAKA BAKAL DIRAI 3 OGOS INI
Next post WRUR REMBIA: 476 ADUAN RAKYAT PERLU DISELESAIKAN