43D6D5E1-2013-463E-A774-3521552A3AF1

2,000 penduduk gusar ancaman anjing liar, hampir ragut nyawa

DUYONG 11 Julai – Kira-kira 2,000 penduduk di sekitar Taman Semabok Perdana, di sini diburu gelisah apabila diancam anjing liar dan peliharaan sejak dua tahun lalu.

Tambah membimbangkan apabila haiwan berkenaan turut menyerang penunggang motosikal dan pejalan kaki yang melalui kawasan berkenaan sehingga mendatangkan kecederaan.

Dalam kes terbaharu, seorang penduduk taman itu, Zaini Kalid, 53, cedera di bahagian badan termasuk patah tangan kanan dan patah kaki kiri selepas terjatuh dari motosikal akibat hampir diterkam seekor anjing.

MELAKA 11 JULAI 2022. Isteri, Afifah Abu Hassan, 43, (kanan) memberi ubat kepada suaminya, Zaini Kalid, 53, (kiri) selepas terlibat dalam kemalangan dengan seekor anjing ketika ditemui di Kampung Padang Semabok, Melaka. Foto: MR. AZLI

Akibat kemalangan yang berlaku pada jam 10 malam, 1 Julai lalu, Zaini yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata dia terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Melaka dan terlantar sakit sehingga kini.

“Saya berharap sangat pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau setiap rumah yang bela anjing supaya pastikan mereka memiliki lesen sebab kalau dia hendak lepaskan anjing, biar di situ sahaja.

“Pemilik boleh pantau anjing peliharaan, jangan sesuka hati lepaskan anjing bagi haiwan terbabit hilangkan ‘tension’ tetapi orang lain yang jadi mangsa.

“Apabila anjing itu lepaskan ‘tension’, orang lain ‘dikekahnya’, jadi biarlah PBT pantau dan kalau pemilik hendak lepaskan anjing, biar di situ sahaja,” katanya.

Izhar Shafawey Idris, 39. Foto: MR. AZLI

Nada sama turut disuarakan seorang lagi penduduk, Izhar Syafawiey Idris, 39 yang turut berdepan pengalaman ngeri dikejar anjing liar.

“Kejadian yang menimpa Zaini bukanlah yang pertama, sebelum ini ada juga penduduk di sini dikejar anjing tetapi tidak sampai kemalangan.

“Saya sendiri pun bawa motosikal dan pernah dikejar tetapi sekadar ‘agah’ sahaja, jadi saya berharap perkara seumpama itu tidak berlaku lagi sehingga mengakibatkan kecederaan, susah mereka bekerja,” katanya.

ROSLI Hashim. Foto MR Azli

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Semabok Perdana, Rosli Hashim, 65 berkata dia turut berdepan pengalaman sama dan dikepung sekumpulan anjing liar ketika hendak menunaikan solat Subuh di surau taman terbabit beberapa hari lalu.

“Lebih kurang tujuh ekor anjing kepung, tapi memandangkan dah dekat dengan surau, jadi sempat berlari ke surau, ada tempat untuk berlindung.

“Pernah juga disergah anjing sebelum ini sehingg terpaksa berselindung di belakang tong sampah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

73
9E2B0D9B-404B-45D0-A2F5-B9C2916D3FE8 Previous post Trafik perlahan dari Jasin menghala ke Simpang Ampat
560A931E-CBD5-4C94-B85B-638E53701E9B Next post Aliran trafik masuk ke Lembah Klang perlahan malam ini