Sorting by

×

Aliran trafik masuk ke Lembah Klang perlahan malam ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Aliran trafik menghala masuk ke Lembah Klang dilaporkan perlahan bagi laluan dari utara, selatan dan pantai timur tanah air setakat 10.30 malam ini susulan kepulangan warga kota dari kampung halaman masing-masing setelah menyambut Aidiladha semalam.

Menerusi tinjauan di laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik sesak sepanjang 14.9 kilometer di Lebuhraya Karak menghala ke Plaza Tol Bentong.

“Terdapat kemalangan di Kilometer 360.89 arah utara, Bukit Besi ke Dungun pada 8.01 malam tadi di Lebuhraya Pantai Timur 2 dan lorong kanan ditutup sementara,” menurut LLM.

Di Lebuhraya Utara Selatan, trafik dilaporkan perlahan menghala ke selatan dari susur keluar Alor Setar ke Gurun ekoran sebuah treler rosak di Kilometer 78.8 serta lorong kiri terhalang. 

“Trafik turut perlahan dari arah utara ke selatan iaitu dari Gopeng ke Tapah; Ladang Bikam ke Sungkai; Slim River ke Behrang dan Bukit Beruntung ke Rawang,” menurut LLM.

 LLM turut memaklumkan trafik dari selatan ke utara juga perlahan bermula dari Tangkak ke Jasin dan Restoran Jejantas Ayer Keroh ke Pedas/Linggi hingga ke persimpangan Port Dickson.

PLUS Malaysia Berhad sebelum ini melaporkan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya semasa cuti perayaan itu bermula Khamis lepas hingga esok.

Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Satu ANIH Berhad menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu bermula semalam hingga malam ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2173
Kongsi :
Previous post 2,000 penduduk gusar ancaman anjing liar, hampir ragut nyawa
Next post Gangguan air di beberapa kawasan di Melaka
Ubah saiz-+=