Gangguan air di beberapa kawasan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 12 Julai – Beberapa kawasan di tiga daerah di negeri ini dijangka mengalami gangguan bekalan air berikutan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan melaksanakan kerja pembersihan ‘sump’ di Rumah Pam Durian Tunggal, 20 Julai ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, pelaksanaan kerja pembersihan itu akan mengakibatkan gangguan bekalan air secara berjadual di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin bermula 9 malam, 20 Julai ini.

Katanya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya seperti biasa dalam tempoh 12 jam.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik taraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, SAMB memaklumkan antara kawasan yang terlibat di daerah Melaka Tengah adalah di Ayer Keroh Country Golf; Vista Kirana; Tiara Golf dan Taman Melaka Perdana.

Bagi daerah Jasin, sebanyak 20 kawasan terlibat, antaranya termasuk Kampung Baru Bukit Sedanan; Jalan Selandar Bukit Selandar; Taman Seri Selandar; Kampung Nelayan; Felda Kemendor; Machap Baru dan Kampung Bukit Senggeh.

Manakala bagi daerah Alor Gajah melibatkan 31 kawasan terjejas termasuk Tanjung Bidara; Kuala Linggi; Kuala Sungai Baru; Pekan Lendu; Felda Menggong; Hutan Percha;Belimbing Dalam dan Machap Umbo.

Bagi mendapatkan senarai penuh kawasan terlibat, orang ramai boleh melayari laman Facebook rasmi SAMB dan hubungi Pusat Khidmat Pelanggan untuk pertanyaan serta maklumat lanjut di talian 15800 atau SMS/Whatsapp ke nombor 013-751 5800, yang beroperasi 24 jam.

SAMB turut mengingatkan pengguna memastikan tangki simpanan air di setiap premis mampu bertahan dalam tempoh 24 jam sekiranya berlaku gangguan air selain menyediakan bekas simpanan air mencukupi untuk kegunaan harian sepanjang tempoh itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4830
Kongsi :
Previous post Aliran trafik masuk ke Lembah Klang perlahan malam ini
Next post Reman lelaki tikam ibu disambung tujuh hari
Ubah saiz-+=