2,000 penjaja disasar menerusi program Melaka Bebas Berniaga

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BUKIT KATIL 11 Feb – Peniaga dan penjaja di negeri ini yang diberikan lesen menerusi inisiatif ‘Melaka Bebas Berniaga’ dijangka meningkat hingga 2,000 orang dalam tempoh dua bulan ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pemberian lesen itu satu daripada 40 pendekatan yang difokuskan kepada rakyat dalam Belanjawan Negeri Melaka 2021.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali

“Setakat ini 433 lesen penjaja dan peniaga sudah dikeluarkan menerusi pemberian lesen inisiatif ‘Melaka Bebas Berniaga’ di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Saya yakin di kawasan MPHTJ sahaja boleh mencecah hingga 500 peniaga, jadi dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, jumlah keseluruhan penjaja dan peniaga menerusi inisiatif ini boleh mencapai 2,000 peniaga.

“Kebanyakan penjaja dan peniaga akan tunggu dan lihat, jadi apabila sesuatu kawasan itu mendapat sambutan, mereka hanya perlu membawa khemah kerana kaunter bergerak untuk permohonan lesen ada disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan lesen kepada 14 peniaga dan penjaja di sekitar Jalan Tun Hamzah, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Untuk rekod, lesen bebas berniaga itu diberikan kepada pemohon yang melengkapkan borang permohonan dan menyediakan dokumen seperti salinan kad pengenalan, pendaftaran syarikat dan salinan kad pengendali makanan.

Peniaga juga perlu menyediakan RM63.75 bagi proses permohonan, manakala bagi permohonan lesen selama tiga bulan sebanyak RM48.75 dan patil, RM5.

Sulaiman berkata, menerusi Belanjawan Negeri Melaka 2021, kerajaan negeri turut mengumumkan Dana Bantuan Kasih Niaga berjumlah RM1 juta sebagai galakan untuk rakyat menceburi bidang perniagaan.

“Perkara itu sedang dilaksanakan di peringkat Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka dan kita akan maklumkan agensi mana yang akan menguruskan bantuan itu.

“Menerusi mesyuarat EXCO yang terbaharu saya mohon perkara itu dipercepatkan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Views:

821
Kongsi :
Previous post Peperiksaan dijadualkan semula: hanya calon ada pengesahan dibenarkan
Next post Mildef perkenal kereta perisai buatan Malaysia
Ubah saiz-+=