23 remaja ditahan kerana merusuh di Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 5 April – Bermula dengan ejek-mengejak dan selisih faham, sehinggalah bertukar menjadi pergaduhan besar hingga menyebabkan berlakunya kecederaan.

Itulah yang berlaku dalam insiden rusuhan membabitkan pelajar sekolah dan remaja di kawasan berhampiran Menara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pantai Puteri, di sini, 29 Mac lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang warga emas yang mendakwa cucunya berusia 15 tahun telah dipukul sekumpulan remaja ketika berada di Pantai Puteri.

Menurutnya, pergaduhan itu menyebabkan pelajar tingkatan 3 itu mengalami kecederaan di seluruh bahagian badan serta muka.

“Sebaik menerima laporan, polis telah menahan 23 individu berusia di antara 15 hingga 20 tahun di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak.

“Polis turut merampas tiga buah topi keledar dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut,” katanya.

Menurut Zainol, hasil soal siasat mendapati pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan remaja yang mana kebanyakan mereka masih bersekolah.

Jelas beliau, punca pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati serta selisih faham melibatkan insiden lama yang akhirnya menimbulkan pergaduhan.

“Mereka yang yang terlibat bagaimanapun tidak direman dan hanya dirakam percakapan memandangan kebanyakan daripadanya adalah pelajar sekolah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Zainol turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak sesekali bertindak di luar batasan sehingga menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3166
Kongsi :
Previous post River Cruise bakal lonjak nama Sungai Rambai
Next post Hiasan warna-warni sambut perantau, pelancong
Ubah saiz-+=