River Cruise bakal lonjak nama Sungai Rambai

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SUNGAI RAMBAI 5 April – Perancangan menjadikan Sungai Kesang, di sini, sebagai lokasi ketiga Melaka River Cruise bakal melonjakkan lagi sektor pelancongan di selatan Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata, kewujudan produk pelancongan baharu di kawasan itu bakal memberi impak dan limpahan ekonomi kepada penduduk apabila direalisasikan kelak.

Malah, beliau percaya, ia juga bakal membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan luar bandar kelak.

“Apabila diumumkan ada satu projek khas datang ke sini, sudah tentu, saya sebagai wakil rakyat kawasan amat gembira dan bersyukur.

“Ini adalah hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk mewujudkan satu lagi produk pelancongan baharu yang akan dibangunkan di kawasan luar bandar seperti Sungai Rambai.

“Ini juga merupakan antara misi saya iaitu mahu melihat Sungai Rambai menjadi tumpuan dalam sektor pertanian dan ekopelancongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri memaklumkan Sungai Kesang bakal dijadikan lokasi ketiga Melaka River Cruise, namun kajian terperinci perlu dilakukan sebelum perkara tersebut direalisasikan.

Menurutnya, untuk peringkat awal sebuah bot akan diletakkan dan kajian tersebut bakal berlangsung selama 60 hari bagi melihat kesesuaian lokasi sebelum ia dibuka kepada pelancong.

Mengulas lanjut, Siti Faizah berkata, pihaknya juga telah memanggil beberapa agensi berkaitan untuk melihat penambahbaikan yang boleh dilakukan.

Jelas beliau, antara perkara yang dilihat ialah meninggikan sebuah jambatan lama supaya bot-bot yang bakal ditempatkan boleh melalui kawasan tersebut dan menuju ke laut.

“Jika perkara ini dapat dilakukan, kita juga boleh menaik taraf kawasan ini menjadi antara hab bagi pelancongan mengelilingi pulau-pulau yang ada di Negeri Melaka,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

229
Kongsi :
Previous post Koperasi Politeknik Merlimau jana pendapatan lebih RM1.36 juta
Next post 23 remaja ditahan kerana merusuh di Pantai Puteri
Ubah saiz-+=