25 calon rebut enam kerusi Parlimen Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

Oleh: Mohamad Fazrul Abdul Majid, Salman Hamat, Faiz Hasan, Siti Salehah, Liana Sahabudin dan Fiqa Jamal

MELAKA 5 November – Seramai 25 calon akan bertanding di enam kerusi Parlimen Melaka yang ditawarkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Calon-calon berkenaan mewakili parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan calon bebas.

Secara keseluruhan, proses penamaan calon di enam pusat penamaan berjalan lancar tanpa sebarang pencalonan ditolak, mahupun dicemari sebarang kekecohan.

Ini sekali gus menunjukkan kematangan proses demokrasi dalam kalangan penyokong parti bertanding.

Jumlah calon paling ramai di negeri ini adalah di kerusi P136 Tangga Batu yang menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Ia membabitkan Ghazali Abu (Pejuang-Putra); Shahril Mahmood (Bebas); Dr Rusnah Aluai (PH-PKR) yang juga penyandang kerusi; Bakri Jamaluddin (PN-PAS) dan Datuk Lim Ban Hong (BN-MCA).

Sementara itu, di lima lagi kerusi Parlimen yang dipertandingkan iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin juga dijangka sengit dengan masing-masing akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Antara kerusi panas pada PRU15 di Melaka ialah di P135 Alor Gajah yang menyaksikan saingan sengit di antara Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan dengan mantan Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Amanah Adly Zahari bersama penyandang kerusi yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Selain itu, fokus turut terarah kepada persaingan di P137 Hang Tuah Jaya yang mempertaruhkan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Mohd Ridhwan Mohd Ali yang juga anak bekas Ketua Menteri.

Mohd Ridhwan dicabar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim yang memegang tiket PH, Mohd Azrudin Md Idris dan Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (Pejuang).

Kerusi tumpuan pula membabitkan P134 Masjid Tanah yang menyaksikan saingan di antara Abdul Hakim Abdul Wahid (BN-UMNO) menentang penyandang kerusi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Bersatu).

Selain nama-nama besar itu, turut bertanding di Masjid Tanah ialah Mutalib Uthman (PH-MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4220
Kongsi :
Previous post 943 pegawai, anggota polis Melaka bertugas di pusat penamaan calon
Next post Parlimen Putrajaya saksi perebutan enam calon
Ubah saiz-+=