289 individu dikompaun RM10,000

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR 14 Mac. – Seramai 289 individu dikompaun RM10,000 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi pematuhan dijalankan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM melakukan 68,046 pemeriksaan di seluruh negara termasuk di pasar raya dan kilang.

Katanya, menerusi operasi itu seramai 337 individu ditahan dengan 289 daripada mereka dikompaun manakala 48 individu lagi direman.

“Antara kesalahan dilakukan adalah gagal mematuhi jarak fizikal membabitkan 109 individu, aktiviti pusat hiburan (72) dan gagal menyatakan rekod dan peralatan butiran pelanggan (55).

“Selain itu, 42 individu dikompaun kerana merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka (41) dan selebihnya lain lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, 3,260 Pasukan Pematuhan membabitkan 14,768 anggota membuat pemantauan di 4,662 pasar raya, 6,120 restoran, 4,003 penjaja, 2,454 kilang, 3,234 bank dan 769 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau 3,311 terminal pengangkutan darat, 1,748 terminal pengangkutan air serta 571 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara katanya, seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng dijalankan seluruh negara semalam.

Pihak berkuasa katanya turut merampas dua kenderaan dan mengesan 98 bot dan kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

“Menerusi Op Benteng dengan kerjasama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi keselamatan lain, sebanyak 264 sekatan jalan raya (SJR) dibuat semalam.

“Ia membabitkan 208 SJR menerusi Ops Penawar, 47 SJR di Op Benteng dan sembilan SJR di Op AKSEM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post COVID:1,354 kes baharu, empat kematian dicatat hari ini
Next post ‘Port’ proses, jual ketum di Sungai Udang terbongkar
Ubah saiz-+=