‘Port’ proses, jual ketum di Sungai Udang terbongkar

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

SUNGAI UDANG 14 Mac – Sebuah kedai di Taman Desa Taming Sari, di sini, yang selama ini dianggap kosong rupa-rupanya dijadikan ‘port’ memproses dan menjual air ketum sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan yang dijalankan di belakang kedai kosong itu berjaya dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dalam satu Operasi Sarang yang dijalankan awal pagi tadi.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, bertindak hasil maklumat, pihaknya telah menyerbu kedai terbabit sekitar jam 4 pagi dan menahan tujuh lelaki termasuk seorang warganegara Thailand berusia 25 tahun yang disyaki menjadi dalang utama.

Dalam serbuan itu, ujarnya, sebanyak 20 kilogram (kg) daun ketum dan 56 liter air ketum telah dirampas bersama-sama alatan memasak berupa periuk, dapur gas dan tong gas.

“Kegiatan ini dijalankan di sebelah sebuah restoran tom yam di Pekan Sungai Udang yang mana kita percaya ia merupakan ‘port’ khas untuk memproses dan menjual cecair ketum di sekitar kawasan tersebut.

“Difahamkan, kedai kosong terbabit dipercayai bergerak aktif sekitar dua bulan lalu untuk mengedar air ketum kepada penduduk di sekitar Sungai Udang dengan harga sekitar RM10 sebungkus.

“Kita percaya daun-daun ketum yang diproses di premis itu dibawa dari sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia dan diseludup masuk ke negeri ini menggunakan kenderaan berat seperti lori,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjalankan Op Sarang JSJN Melaka, hari ini.

Zulkiflee berkata, Operasi Sarang yang pertama kali diadakan pada tahun ini itu telah dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan perumahan sekitar Sungai Udang dan Tapak Pelupusan Sampah Krubong sejak 2 pagi semalam dan berakhir kira-kira jam 5 petang tadi.

Jelasnya, seramai 173 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah digerakkan untuk membantu pihak polis dalam operasi itu.

Hasil serbuan, ujarnya, seramai 75 orang termasuk enam wanita disyaki penagih berusia lingkungan 16 hingga 68 tahun telah ditahan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

“Turut ditahan dua remaja lelaki dan perempuan berusia 16 tahun yang bersekedudukan di sebuah rumah sewa di Sungai Udang bersama-sama dadah jenis syabu dan heroin.

“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39 A(1), Seksyen 12 (3), Seksyen 6, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1653
Kongsi :
Previous post 289 individu dikompaun RM10,000
Next post Polis terima laporan kejadian anjing liar mati dipanah
Ubah saiz-+=