
MELAKA GANDAKAN USAHA, PASTIKAN BEKALAN AIR CUKUP
SERI NEGERI 27 April – Paras air di tiga empangan utama negeri ini sentiasa dipantau bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi bagi kegunaan penduduk dan industri.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, berdasarkan rekod pada 7 April Empangan Asahan berada pada paras normal dengan baccaan 87.9 peratus dengan jumlah air dianggarkan 612 juta liter.
Katanya, Empangan Durian Tunggal pula merekodkan bacaan 64.1 peratus dengan jumlah 20,078 juta liter air dan disifatkan di paras amaran manakala jumlah air di Empangan Jus dengan rekod 57.3 peratus berada pada paras waspada dengan jumlah air 25,900 juta liter.
“Paras air di Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus berada di tahap waspada namun Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan sumber air mentah di negeri ini mencukupi untuk keperluan seharian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan mengenai usaha Kerajaan Negeri mengekalkan paras air empangan di Melaka oleh Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, selain usaha daripada Kerajaan Negeri, orang awam turut digesa untuk menjalankan langkah penjimatan penggunaan air pada musim kering.
“Kerajaan Negeri sedang dan akan melaksanakan pelan jangka panjang dan pendek demi memastikan bekalan air di negeri ini cukup sehingga tahun 2052.
“Selain itu, hebahan serta kempen-kempen penjimatan penggunaan air kepada orang awam dilihat dapat membantu menstabilkan simpanan bekalan air sedia ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


