Polis terima laporan kejadian anjing liar mati dipanah

Masa Membaca:57 Saat

ALOR SETAR 14 Mac. – Polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki membunuh anjing liar dengan cara memanah haiwan berkenaan di Seberang Jalan Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, laporan dibuat seorang pengadu yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, seorang lelaki yang menaiki Proton Waja dilihat telah berada di kawasan itu sambil melakukan aksi memanah. Senjata yang digunakan untuk membunuh anjing itu ialah busar panah dan anak panah.

“Bagaimanapun, nombor pendaftaran kereta berkenaan gagal dikenal pasti. Tujuan pengadu membuat laporan adalah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata pasukan penyiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang melakukan siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat CCTV di kedai berhampiran menunjukkan seorang lelaki memanah anjing liar antara pukul 4.21 hingga 5.26 pagi, Khamis lepas.

“Kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan mengikut Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

679
Kongsi :
Previous post ‘Port’ proses, jual ketum di Sungai Udang terbongkar
Next post Promosi Melakan Visit Melaka mula beri impak
Ubah saiz-+=