Promosi Melakan Visit Melaka mula beri impak

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Mac – Promosi ‘Melakan Visit Melaka’ (Orang Melaka Melawat Melaka) 3.0 yang dilancarkan kelmarin mula mempamerkan kejayaan apabila pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini, mula dipenuhi pengunjung.

Walaupun mereka rakyat negeri ini, ia sedikit sebanyak merancakkan semula aktiviti pelancongan di pantai berkenaan.

Ini berikutan kebenaran rentas daerah yang diberikan kerajaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.

Bagaimanapun, keadaan hari ini tidak semeriah ketika kebenaran rentas negeri sebelum ini yang menyaksikan pantai itu padat dengan pelancong luar terutama Lembah Kelang dan Johor.

Siti Jumaeyah Abdul Jalil, 39, berkata beliau bersyukur berpeluang membawa empat anaknya berusia antara dua hingga 12 tahun berkelah di situ.

“Alhamdulillah, anak saya amat gembira dapat mandi-manda di pantai ini berbanding hanya terpaksa memerap dalam rumah sebelum PKPP dilaksanakan.

“Semalam, sebelum saya datang ke sini, saya pergi ke Balai Polis Durian Tunggal untuk meminta kebenaran tetapi anggota polis itu menyatakan rentas daerah tidak perlu surat kebenaran,” katanya ketika ditemui di pantai itu.

Siti Jumaeyah yang tinggal di sebuah taman di Durian Tunggal, Alor Gajah tiba di pantai berkenaan pada jam 8.30 pagi.

PENGUNJUNG pantai peranginan Pengkalan Balak gembira berkelah bersama-sama keluarga.
– Foto DIN AHMAD

Kamariah Abdul Samad, 35, berkata beliau mengambil peluang cuti hujung minggu hari ini untuk berkelah bersama-sama tiga anggota keluarganya selepas terpaksa berkurung dalam rumah sebelum ini.

“Hari ini kami dapat membebaskan fikiran dan pemandangan di laut yang terbentang luas selepas terpaksa berkurung dalam rumah sebelum ini,” katanya.

Promosi Melakan Visit Melaka 3.0 dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis pada 12 Mac lalu dengan meletakkan sasaran menarik 6.2 juta pelancong tahun ini.

Ia turut memperkenalkan 24 lokasi pelancongan menarik berbanding 18 pada promosi kempen yang sama tahun lalu.

Katanya, kempen Melakan Visit Melaka 2.0 sebanyak 58,465 pakej sudah terjual dengan jumlah pendapatan RM459,948.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

904
Kongsi :
Previous post Polis terima laporan kejadian anjing liar mati dipanah
Next post 30 lagi nelayan sedang dinilai untuk dapatkan rumah
Ubah saiz-+=