300 kilogram daging diagih kepada golongan terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Pertubuhan Aman Palestin tampil menyalurkan 300 kilogram daging sejuk beku buat penduduk negeri ini yang terjejas pandemik COVID-19.

Program agihan diadakan pagi semalam termasuk melalui kaedah pandu lalu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pengurus Aman Palestin Melaka, Muhammad Zulfikar Azlan Mohd Shariff berkata, program sedemikian disifatkan sebagai ‘membalas budi’ kepada rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan bagi membela nasib masyarakat Palestin yang dizalimi Zionis.

Katanya, agihan daging secara pandu lalu diadakan di Taman Tasik Utama selain diserahkan kepada lapan masjid dan tiga badan kebajikan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Dalam misi kemanusiaan di Palestin yang giat dijalankan, kita tidak mahu terlepas pandang untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang susah apatah lagi mereka inilah antara penyumbang kepada misi kemanusiaan di Palestin,” katanya ketika ditemui program berkenaan, semalam.

HAWA YAAKOB.

Sementara itu, wakil Persatuan Barokah Malaysia, Hawa Yaakob berkata, pihaknya telah mengagihkan 28 kilogram daging diterima daripada Aman Palestin kepada golongan tidak berkemampuan di sekitar Ayer Keroh.

“Agihan ini diberikan kepada mereka yang juga golongan rentan terdiri daripada ibu tunggal, berpenyakit, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya di sekitar Ayer Keroh,” katanya.

SAHAR.

Dalam pada itu, Setiausaha Masjid Ubudiah, Ayer Keroh, Sahar Tampok memuji usaha Aman Palestin yang tidak melupakan nasib golongan tidak berkemampuan di Melaka.

“Alhamdulillah dan ‎insya-Allah, sumbangan daging ini akan disalurkan kepada asnaf yang terkesan dalam pandemik COVID-19.

“Kami berbangga dengan usaha Aman Palestin yang sibuk dengan bantuan kemanusiaan di Palestin tetapi tidak lupa akan kesusahan yang dialami rakyat di negara sendiri,” katanya.

Persatuan Barokah Malaysia turut menyampaikan cek bernilai RM16,000 kepada Aman Palestin untuk disumbangkan bagi pembinaan sebuah hospital mental di Gaza.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post Lebih 25 juta dos vaksin diberikan setakat semalam- Dr Adham
Next post PPV UTeM manfaatkan 2,500 penerima vaksin
Ubah saiz-+=