300 penganut Kristian terima ‘hadiah’ Krismas

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 15 Dis – Seramai 300 penganut Kristian menerima sumbangan sempena sambutan Hari Natal membabitkan peruntukan sebanyak RM60,000 bagi membuat persiapan meraikan perayaan itu 25 Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, sumbangan itu diagihkan bagi meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan untuk meraikan perayaan Hari Natal dengan lebih bermakna.

“Kita agihkan bantuan perayaan kepada 140 orang penerima kawasan Melaka Tengah dan selebihnya 160 penerima akan diagihkan sumbangan mengikut daerah masing-masing iaitu di Daerah Jasin dan Alor Gajah pada 22 Disember nanti.

SEBAHAGIAN penganut Kristian yang hadir pada Program Penyampaian Sumbangan Krismas 2020 di kediaman rasminya di Seri Bendahara.

“Saya percaya, ini merupakan inisiatif yang holistik dan langkah proaktif bagi terus menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin menyambut perayaan Krismas kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penyampaian Sumbangan Krismas 2020 di kediaman rasminya di Seri Bendahara, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka Datuk Wira Latipah Omar dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik.

Bagi Adrianette Tessensohn, 39 berkata, sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak membantu persiapan dirinya dan tiga anak meraikan perayaan Krismas meskipun sambutan tidak semeriah tahun terdahulu.

ADRIANNETTE

“Tahun ini, segala-galanya berbeza dengan saya sendiri tidak mempunyai pekerjaan tetap ketika negara sedang bergelut menghadapi cabaran COVID-19.

“Bagaimanapun, saya cukup bertuah kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri (Sulaiman) prihatin dengan nasib rakyat seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Ratha Raju, 48, berkata, sumbangan yang diberikan cukup bermakna kepada keluarganya kerana dapat melakukan sedikit persiapan meskipun sambutan diadakan dalam norma baharu.

RATHA RAJU

“Sumbangan yang diterima bolehlah membantu kami sedikit untuk membuat persiapan apa yang patut menjelang Krismas,” katanya.

Views:

943
Kongsi :
Previous post Lima kluster bidang bantu teras digital Melaka
Next post Belanjawan pertama PN lulus
Ubah saiz-+=