
3,000 SERLAH SEMANGAT MALAYSIA DALAM KERETAPI SARONG MELAKA
BANDA HILIR 17 September – Lebih 3,000 peserta daripada pelbagai kaum dan latar belakang menyemarakkan sambutan Hari Malaysia menerusi Keretapi Sarong 2026 Melaka yang berlangsung di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka, di sini, semalam.
Program berkenaan bukan sahaja menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh meriah, malah mengetengahkan kepelbagaian budaya menerusi pemakaian tradisional yang diperagakan peserta sebagai simbol identiti, warisan dan kebersamaan rakyat Malaysia.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Nasrul Ahmad berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan program berteraskan perpaduan dan kebudayaan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kehadiran peserta terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, Baba Nyonya dan India turut menyerlahkan keharmonian masyarakat dalam meraikan Hari Malaysia.
“Alhamdulillah, kita dapat melihat rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia dalam suasana yang cukup harmoni dan cukup aman.
“Negara kita mempunyai pelbagai kaum dan masing-masing melambangkan etnik mereka. Hari ini mereka bersama-sama dengan kita menyambut Hari Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.
Nasrul berkata, keunikan pakaian tradisional yang dikenakan peserta turut menjadi daya tarikan tersendiri apabila pelbagai identiti budaya dapat disaksikan dalam satu-satu program.
Katanya, penganjuran Keretapi Sarong di Melaka pada masa sama memberi peluang kepada peserta dan pengunjung meneruskan kunjungan ke pelbagai produk pelancongan yang terdapat di sekitar negeri.
“Kita melihat program seperti ini bukan sahaja menggalakkan masyarakat berkumpul dan meraikan Hari Malaysia, tetapi pada masa sama memberi peluang kepada mereka untuk menikmati produk-produk pelancongan yang ada di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


