
JUALAN MURAH FAMA BANTU RAKYAT BERJIMAT
TANJUNG BIDARA 17 September – Program jualan murah dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) amat membantu golongan B40 dan kumpulan kurang mamu yang lain untuk berjimat dalam berbelanja.
Mohd Rafee Abdul Majeed, 59, berkata dia sentiasa menantikan jualan murah berkenaan dan sanggup ke lokasi penganjuran meskipun agak jauh dari rumahnya di Pulau Gadong, Klebang.
Pemandu lori ini berkata, mengikut kebiasaan dia akan menggunakan peluang ditawarkan FAMA bagi mendapatkan bekalan ayam atau barangan basah lain untuk dijadikan stok makanan.
“Harga murah ditawarkan menyebabkan saya sukar untuk menolak, belanja pada program seperti ini kosnya bawah RM100 tetapi kalau pasar raya atau kedai biasa boleh lebih RM200.
“Biasa stok dibeli boleh bertahan antara dua minggu hingga sebulan kerana di rumah empat anak masih kecil, hanya saya dan isteri sahaja orang dewasa,” katanyaΒ ketika ditemui pada Melaka Madani Agro Market sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Japerun Tanjung Bidara, di sini, semalam.
Katanya, setakat ini lokasi penganjuran jualan murah paling jauh pernah dihadiri adalah di Jasin, kerana tidak mahu mensia-siakan peluang untuk berjimat yang terhidang.
“Saya amat menyokong inisiatif ini, mungkin boleh buat lebih kerap secara mingguan atau bulanan, apa yang pasti saya tidak akan melepaskan peluang yang ditawarkan,” katanya
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

