
FAMA MELAKA MERIAHKAN WRUR DUN TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 16 September – Nilai jualan Melaka Madani Agro Market sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini, dianggarkan melebihi RM100,000.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka Ts. Nor Azhar Abdul Hamid berkata, nilai jualan itu berdasarkan sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 5,000 orang pengunjung.
Katanya, antara tarikan utama jualan adalah daging ayam segar ditawarkan pada harga RM5 seekor, 1,000 papan telur, set Kombo Madani (minyak, gula, tepung dan santan) dijual pada harga RM10 selain pelbagai lagi hasil pertanian dibawa oleh agensi serta jabatan kerajaan berkaitan.
“Alhamdulillah ramai yang hadir untuk mendapatkan barangan basah pada harga diskaun dan lebih murah berbanding pasaran. Selain produk dikendalikan FAMA ada juga barangan ditawarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Melaka dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Turut berlangsung Kursus Pengurusan Durian berkualiti yang dihadiri 200 orang peserta yang mana program ini adalah kendalian FAMA bersama Jabatan Pertanian Negeri Melaka dan selepas selesai kursus peserta juga akan diberikan benih pokok durian.
“Bersempena Hari Malaysia kita juga anjurkan sambutan kemerdekaan negara dan pertandingan melukis untuk kanak-kanak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh turut singgah meninjau kemeriahan program berkenaan.
Menurutnya, selain menawarkan barangan makanan asas pada harga murah turut berlangsung agihan anak pokok kelapa, benih sayur-sayuran dan juga jagung manis kepada pengunjung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

