30,000 orang Melaka beraya sakan di MITC

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Tidak kurang 30,000 pengunjung hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Majlis yang diadakan bermula jam 2 petang itu mula diserbu orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang meraikan hari raya bersama pemimpin negeri.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman tiba di perkarangan MITC pada jam 2 petang.

Ketibaannya disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum dan EXCO Kanan Pelaburan dan Perindustrian Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Menteri Pengankutan Datuk Seri Wee Ka Siong, barisan EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan dan lain-lain kenamaan.

Ini merupakan kali pertama selepas dua tahun Melaka menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri mega yang dihadiri puluhan ribu pengunjung.

Pelbagai juadah warisan disediakan di majlis berkenaan yang disajikan sendiri perkhidmatan katering MITC Hotel.

Selain itu, pengunjung turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada artis jemputan antaranya Datuk Hattan dan Datuk DJ Dave.

Acara paling istimewa ialah pemberian duit raya kepada pengunjung yang hadir.

Duit raya itu disampaikan sendiri oleh Tun Mohd Ali, Sulaiman dan barisan EXCO.

Untuk rekod, majlis rumah terbuka ini akan berlangsung sehingga jam 6 petang nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1024
Kongsi :
Previous post Mahkamah rayuan Singapura bebaskan 2 lelaki termasuk Rakyat Malaysia atas tuduhan Dadah: Laporan
Next post Sidang Khas ASEAN-Jepun bincang isu serantau, antarabangsa dengan mendalam
Ubah saiz-+=