Monyet liar jadi ‘penunggu’ Bangunan Merah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 4 Ogos – Seekor monyet liar yang dikesan sering merayau di sekitar Bangunan Merah, di sini tidak dianggap sebagai pengacau, sebaliknya seakan menjadi ‘penunggu’ kawasan bersejarah itu.

Pekerja pembersihan, Khairul Zaman Abdul Hadi, 64, berkata, sejak dia mula bekerja di kawasan itu pada hujung 2019, dia sudah beberapa kali terserempak dengan monyet berkenaan berlegar-legar di bumbung Bangunan Merah sehinggalah ke sekitar kawasan istana dan Bukit St Paul.

Namun, katanya, spesies itu tidak pernah mengganggu tugasnya, apatah lagi menyelongkar tong sampah di kawasan berkenaan.

“Monyet ini hanya seekor sahaja, tak pasti sama ada jantan atau betina. Saya rasa mungkin dia sesat ke sini kerana tidak ada kelibat kumpulannya selama ini.

“Dia tak pernah kacau, tak pernah buat sepah dan kalau kita jumpa dan kita agah dia akan lari. Orang ramai pun tak ada mengadu diganggu monyet ini.

“Dia hanya datang sini berlegar-legar dan waktunya tak tentu. Adakalanya jumpa waktu pagi, kadang-kadang petang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Khairul Zaman bagaimanapun bersetuju sekiranya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Melaka mengambil pendekatan menangkap monyet liar terbabit.

Katanya, ia bertujuan untuk membantu spesies itu mendiami kawasan yang lebih sesuai dan bukannya di tengah-tengah bandar dan kawasan tumpuan pelancongan seperti ini.

“Untuk jangka masa panjang perlulah monyet ini ditangkap kerana kita pun kesian juga dia terpisah dari habitatnya.

“Lagipun, ini kawasan tumpuan pelancongan yang mana tak elok juga jika dibiarkan dalam tempoh lama,” katanya lagi.

Bagaimanapun, dalam tinjauan Melaka Hari Ini sejak jam 9 hingga 11.30 pagi tadi, tiada kelibat monyet itu kelihatan di sekitar Bangunan Merah sehingga ke Bukit St Paul.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Muhyiddin jamin PICK tidak terganggu akibat kemelut politik
Next post Muhyiddin dedah ada desakan supaya campur tangan urusan mahkamah, bebas individu
Ubah saiz-+=