43 remaja berentap buru gelaran ‘raja golf’

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Seramai 43 pemain remaja berentap dalam Kejohanan UUMISM Chief Minister’s Cup International Junior Match Play 2023 bertempat di Ayer Keroh Country Club (AKCC) bermula esok hingga 31 Ogos.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, kejohanan anjuran Sekolah Antarabangsa Melaka UUM (UUMISM) dan Sport Excel itu turut membabitkan peserta dari Korea Selatan, Indonesia dan China, selain anak tempatan.

Katanya, kesemua peserta akan bertanding dalam dua kategori iaitu permainan perlawanan untuk 32 kelayakan teratas dan acara pukulan kasar.

“Acara ini juga terbuka kepada peserta lelaki berumur antara 12 hingga 18 tahun dengan ‘handicap’ 15 ke bawah.

“Kejohanan golf ini juga melibatkan 30 pemain tempatan yang pernah menyertai litar golf UUMISM-Sport Excel sejak tiga hingga empat tahun lalu.

“Tujuan kejohanan ini juga untuk memupuk semangat berdaya saing selain dapat mengeratkan persahabatan serta jaringan dalam kalangan negara yang mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kejohanan UUMISM Junior Match Play International Piala Ketua Menteri 2023 di Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron dan Presiden UUMISM, David Jeong.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan lebih ramai atlet berpotensi bukan sahaja dalam sukan gol tetapi semua jenis sukan.

“Kejohanan ini julung kali diadakan dan diharapkan akan diteruskan pada tahun hadapan memandangkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), dapat membawa lebih ramai lagi penyertaan dari luar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1311
Kongsi :
Previous post Pemberian vaksin Tdap untuk semua ibu hamil di Malaysia tahun depan
Next post MKI bincang penggunaan kalimah Allah – Sultan Selangor
Ubah saiz-+=