292172295_617558463059449_4411440189956840122_n

499 mangsa banjir di Baling selamat dipindahkan ke PPS – Reezal

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Seramai 499 mangsa banjir di Baling, Kedah berjaya diselamat dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) oleh pasukan bomba selepas operasi menyelamat ditamatkan hari ini secara rasminya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata jumlah itu terdiri daripada 109 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS, Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai (164 mangsa), Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah (78 mangsa) dan Surau An Nur Taman Mesra (257 mangsa).

“Bagi memastikan mangsa dapat pulang ke kediaman mereka pada kadar segera, saya telah mengarahkan pasukan bomba bersama PBS (Pasukan Bomba Sukarela) untuk mula melaksanakan operasi pembersihan jalan dan kawasan rumah penduduk terjejas,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Menurutnya, beliau akan memastikan pengurusan pasca banjir yang digerakkan oleh agensi-agensi di bawah kementeriannya akan dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang peka dengan situasi mangsa menerusi pengumuman Bantuan Segera Untuk Mangsa Banjir Baling biarpun sedang dalam lawatan rasmi ke Turkiye.

“Saya mewakili #KeluargaMalaysia mengucapkan terima kasih kepada komitmen anggota penyelamat khususnya pasukan bomba dan agensi berkaitan terdiri daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia), SAPURA, PBS, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan badan sukarela,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
kenyataan media metmalaysia Previous post Gempa bumi lemah landa Kepulauan Andaman
WhatsApp Image 2022-07-06 at 12.55.46 PM Next post Selenggara parit atasi banjir di Kampung Pulai