5 lokasi pelancongan Melaka catat nilai jualan tiket RM1.8 juta

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 20 Okt. – Lima lokasi pelancongan utama Melaka berjaya merekodkan nilai jualan tiket hampir RM1.8 juta sejak sektor pelancongan dibuka semula 1 Oktober lalu.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 64,408 jualan tiket terjual setakat 17 Oktober lalu.

Menurutnya, lima lokasi terbabit ialah Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, A Famosa Resort dan tiga muzium membabitkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Samudera dan Muzium Kapal Selam.

“Lima lokasi yang pada asalnya disenaraikan dalam Program COVID-19 Free Destination di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menunjukkan peningkatan positif dalam sektor pelancongan Melaka.

“Peningkatan jualan tiket terhadap kesemua lokasi pelancongan direkod mendadak sejurus selepas sektor pelancongan dalam negeri dibuka dan ia menunjukkan pertambahan sebaik kebenaran merentas negeri dibuka bermula 11 Oktober lalu.

“Setakat 1 hingga 17 Oktober lalu sebanyak RM1,789,231.15 nilai jualan tiket dari kelima-lima senarai lokasi pelancongan utama diterima sepanjang tempoh berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sa’ari berkata, Zoo Melaka menjadi destinasi yang merekodkan tempahan tiket tertinggi di negeri ini selepas 18,896 tiket dengan nilai jualan RM780,260.55 berjaya dijual dalam tempoh itu.

“Ia diikuti dengan Melaka River Cruise sebanyak 17,798 dengan nilai jualan sebanyak RM377,763.40, seterusnya Menara Taming Sari 15,346 tiket berjaya dijual dengan jualan sebanyak RM164,877.20.

“Manakala, A’Famosa Resort sebanyak 9,173 tiket dijual dan menerima jumlah jualan sebanyak RM450,000 diikuti ketiga-tiga muzium berkenaan iaitu 3,195 tiket dibeli pelancong dan menerima sejumlah RM16,330,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1176
Kongsi :
Previous post Arman Azha angkat sumpah senator
Next post Seleweng geran kerajaan puluhan juta: SPRM tahan 16 pengarah syarikat
Ubah saiz-+=