50 keluarga bakal diami Rumah Sejahtera hujung bulan ini – KM

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

JASIN 8 November – Sebanyak 50 keluarga dalam kalangan B40 di Parlimen Jasin bakal mendiami Rumah Sejahtera yang bernilai RM20,000 seunit pada hujung November ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata pembinaan Rumah Sejahtera itu sekali gus membantu bagi meringankan beban penerima yang terpaksa membayar sewa rumah sehingga mencecah RM400 sebulan.

“Pemilik hanya perlu membayar nilai rumah ini RM20,000 dibawah Skim Bank Simpanan Nasional (BSN), lagi RM20,000 subsidi ditanggung oleh kerajaan bersama Kementerian Kewangan Malaysia.

“Akhir November ini akan diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan pemilik boleh mula duduki rumah mereka dengan kejiranan dan persekitaran yang baharu.

“Rumah ini juga berkeluasan 750 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, di kiri dan kanannya terdapat tanah lapang yang boleh diusahakan oleh pemilik selepas mereka duduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan surat tawaran bagi Program Rumah Sejahtera di Lipat Kajang di sini, hari ini.

photo_2022-11-08_17-44-15
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Rumah Sejahtera sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Rumah Sejahtera di Tapak Rumah Sejahtera Lipat Kajang, Jasin. Turut bersama Calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (SBKSK) Kementerian Kewangan Malaysia, Mohd Sakeri Abdul Kadir; Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dalam pada itu, Sulaiman berharap supaya pemilik Rumah Sejahtera berkenaan dapat menjaga kediaman mereka sebaik mungkin dan tidak menyewakannya kepada penghuni yang lain.

“Rumah ini jangan dijual atau disewa, satu hari nanti dapat diwariskan kepada anak cucu mereka…jagalah kebersihan rumah apabila sudah diami nanti, kita mahukan persekitaran hidup dan kejiranan yang baik.

“Insya-Allah jika kita diberikan peluang untuk memimpin lagi negeri ini sudah tentu lebih banyak Rumah Sejahtera dibina untuk golongan B40 yang layak.

“Bayaran bulan terserah kepada bank, ikut pemilik ikat berapa tahun bawah Skim BSN, kalau 10 tahun lihatlah ‘interest’ (kadar faedah) semua berapa, tetapi pemilik hanya bayar nominal tanah RM1,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2636
Kongsi :
Previous post Manifesto BN mampu dilaksana, tidak janji bulan dan bintang – Ismail Sabri
Next post Tiada pepecahan dalam UMNO, saya dan Zahid tiada masalah” – PM
Ubah saiz-+=