Tiada pepecahan dalam UMNO, saya dan Zahid tiada masalah” – PM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BERA, 8 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata tiada perpecahan dan persengketaan berlaku dalam UMNO dan parti komponen, termasuk antara dirinya dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata naratif yang dimainkan pembangkang bahawa calon perdana menteri daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah Ahmad Zahid adalah fitnah, yang sengaja dibuat pembangkang untuk mengelirukan rakyat dan mewujudkan perpecahan dalam BN.

Sehubungan itu, beliau berharap kenyataan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti dalam BN termasuk Ahmad Zahid, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC Tan Sri SA Vickneswaran dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, dapat menghentikan fitnah tersebut.

“Persepsi yang cuba dicipta pembangkang adalah palsu dan fitnah semata-mata, dan tidak lain tidak bukan bertujuan hendak memecah-belah dan mewujudkan persengketaan dalam UMNO. Tetapi Alhamdulillah, solidariti UMNO masih sebulat suara dan kita tidak terpengaruh dengan persepsi dibawa pembangkang.

“Tiada perpecahan antara kepimpinan UMNO, dan antara saya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga tidak ada masalah,” katanya dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid menegaskan dan mengulangi pendirian BN bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon tunggal BN sebagai perdana menteri selepas PRU-15.

Sebelum ini, timbul isu “satu undi BN = satu undi Zahid sebagai PM” iaitu dakwaan setiap undian kepada calon BN adalah undian untuk menjadikan Presiden UMNO itu yang juga calon BN di Parlimen Bagan Datuk, menjadi perdana menteri selepas PRU15.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1492
Kongsi :
Previous post 50 keluarga bakal diami Rumah Sejahtera hujung bulan ini – KM
Next post Dua lelaki Nepal ditahan disyaki cedera Pegawai Penguatkuasa Kempen PRU
Ubah saiz-+=