Dua lelaki Nepal ditahan disyaki cedera Pegawai Penguatkuasa Kempen PRU

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Dua lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki mencederakan seorang pegawai Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dalam insiden di Jalan SS2/63, Petaling Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kejadian berlaku pada 11.15 malam ketika sepasukan PP-KPR membuat pemeriksaan bendera parti politik di sekitar kawasan berkenaan dan terdengar jeritan orang awam yang meminta bantuan untuk mencegah berlaku pergaduhan.

Beliau berkata pasukan itu kemudiannya telah pergi ke lokasi dan mendapati empat lelaki warga Nepal sedang bergaduh sesama sendiri.

“Ketika cuba untuk meleraikan pergaduhan, seorang pegawai PP-KPR telah diserang dua lelaki berkenaan sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian leher. Satu alat komunikasi mudah alih milik pasukan PP-KPR turut mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek berusia awal 20-an direman sehingga Jumaat ini dan disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan (KK) kerana gaduh gempar di tempat awam, katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata kes turut disiasat di bawah Seksyen 353 KK kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan, Seksyen 427 KK kerana khianat dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tidak memiliki dokumen sah).

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah serta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 jika mempunyai maklumat mengenai sebarang perlakuan jenayah, katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Previous post Tiada pepecahan dalam UMNO, saya dan Zahid tiada masalah” – PM
Next post Tak mahu lagi lihat ‘rider’ berteduh di tepi jalan