50 permohonan pajakan tanah di Empangan Durian Tunggal tidak lulus, 22 lagi dalam pertimbangan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 15 Disember – Lima puluh permohonan bagi lanjutan tempoh pemilikan tanah berhampiran Empangan Durian Tunggal tidak dapat diluluskan berikutan lokasi tanah berada dalam lingkungan 500 meter dari kawasan tadahan air itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata mengikut Seksyen 90A Kanun Tanah Negara dan Seksyen 197 serta 76 Kanun Tanah Negara kawasan dalam jarak 500 meter tidak boleh dibangunkan kerana dibimbangi mendatangkan pencemaran air.

Sulaiman berkata dasar itu dilaksanakan supaya Empangan Durian Tunggal terus membekalkan air mentah dan seterusnya air bersih untuk kegunaan seluruh penduduk Negeri Melaka pada masa akan datang.

“Mana-mana tadahan air ini mesti dijaga, kualiti air mesti dijaga, sebab itu kawasan sekitar empangan tersebut diwartakan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar tahap 1 (Kesas 1) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menerusi Rancangan Struktur Negeri 2035 atau (RSM2035).

“Mengikut garisan panduan Kesas 1 kawasan sumber air, aktiviti pertanian bersempadanan dengan jarak 500 meter dari empangan adalah sama sekali tidak dibenarkan, ini adalah tanah pajakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan pengangguhan sempenan perbahasan usul bajet negeri Melaka pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah menerima 72 permohonan ulasan untuk lanjutan tempoh pajakan tanah setakat Mei 2022.

“Daripada jumlah tersebut, 50 permohonan adalah terletak dalam jarak 5 hingga 500 meter dari gigi air empangan, manakala 22 lagi akan dipertimbangkan kerana jarak bersesuaian dengan empangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1968
Kongsi :
Previous post Pertama kali dalam sejarah, Bajet 2023 Negeri Melaka terima sokongan 100 peratus – KM
Next post Klinik desa usang, kuarters lama dirobohkan
Ubah saiz-+=