Klinik desa usang, kuarters lama dirobohkan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 15 Disember – Struktur bangunan membabitkan enam klinik desa dan beberapa blok kuaters milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang uzur dan tidak selamat diduduki akan dirobohkan.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bangunan Klinik Desa Parit Gantung, Tanjung Bidara, Ayer Paabas, Ramuan China Besar dan Taboh Naning yang dibina menggunakan kayu antara yang bakal dirobohkan.

Sementara itu katanya blok kuaters yang dicadangkan untuk dirobohkan pula membabitkan Klinik Kesihatan Hutan Percha, Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Klinik Kesihatan Durian Tunggal dan Klinik Kesihatan Felda Bukit Senggeh.

Jelasnya KKM menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengapatkan permohonan kelulusan sebelum kerja merobohkan bangunan berkenaan dilaksanakan.

“Selepas dirobohkan tapak bangunan milik KKM ini akan dibangunkan bagi tujuan lain yang membawa faedah seperti pusat sub klinik bagi sesebuah kawasan.

“Kakitangan di Klinik Desa terbabit akan ditugaskan di Klinik Kesihatan berdekatan mereka. Perkara ini sudah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Berkongsi perancangan untuk meningkatkan kualiti kesihatan rakyat Negeri Melaka, Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya sudah mengemukakan beberapa permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi pembinaan empat buah klinik kesihatan baharu.

Dr. Muhamad Akmal berkata turut dirancang adalah projek menaik taraf infrastruktur sistem kesihatan di beberapa bangunan klinik kesihatan sedia ada di negeri ini.

“Lokasi klinik kesihatan baharu yang dicadangkan adalah di Sungai Rambai, Bukit Katil, Cheng dan Bukit Rambai.

“Sementara itu kami turut menerima permohonan menaik taraf bangunan sedia ada di lima Klinik Kesihatan seperti Selandar, Ayer Keroh, Peringgit, Durian Tunggal dan Masjid Tanah. Keperluan ini adalah berdasarkan kepada pertambahan dan kepadatan penduduk di lokasi berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2246
Kongsi :
Previous post 50 permohonan pajakan tanah di Empangan Durian Tunggal tidak lulus, 22 lagi dalam pertimbangan
Next post Projek tebatan banjir akan dilaksanakan sehingga tahun 2100 – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=