Pertama kali dalam sejarah, Bajet 2023 Negeri Melaka terima sokongan 100 peratus – KM

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 15 Disember – Bajet 2023 Negeri Melaka bertemakan ‘Teguh Bersama, Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Aku Janji, Mensejahtera Rakyat’ yang dibentangkan pada 12 Disember lalu menempa sejarah bagi Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan buat pertama kalinya, Bajet 2023 itu mendapat sokongan 100 peratus daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang hadir termasuk Bukan Kerajaan.

Beliau turut memanjatkan kesyukuran kerana Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas pada 12 hingga 15 Disember itu telah berlangsung dengan jayanya dengan sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Adun yang telah mengambil bahagian dalam sesi soal jawab dan perbahasan Bajet 2023 Negeri Melaka kerana telah menunjukkan sikap yang profesional, matang dan sangat terbuka, semata-mata untuk kepentingan rakyat dan Negeri Melaka.

“Saya amat berharap semangat yang ditunjukkan seperti ini dapat diteruskan pada persidangan-persidangan yang akan datang, sekali gus membuktikan bahawa Adun Negeri Melaka sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua penjawat awam Negeri Melaka khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan persidangan kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1928
Kongsi :
Previous post Pulau Upeh, permata Melaka yang akan dijaga – KM
Next post 50 permohonan pajakan tanah di Empangan Durian Tunggal tidak lulus, 22 lagi dalam pertimbangan
Ubah saiz-+=