5,000 peluang pekerjaan ‘oil and gas’ buat anak muda Melaka – Mohd Ridhwan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 1 April – Sebagai usaha membantu golongan belia Melaka dalam mendapatkan pekerjaan, Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) kini sedang giat mempertingkatkan peluang pekerjaan kepada anak jati negeri ini.

Presiden MGBM, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, antara usaha itu adalah dengan kolaborasi bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan di bawah projek penyelenggaraan syarikat Petronas.

Beliau yang juga Senator Dewan Negara berkata, peluang pekerjaan itu ditawarkan dalam industri minyak dan gas dan untuk bekerja dalam bidang tersebut yang mana ia akan dibuka secara bersasar.

“Buat masa ini kita sasar dalam anggaran 100 orang untuk kita latih, kita bagi dia latihan untuk sijil yang perlu dan kita akan hubungkan mereka dengan syarikat-syarikat yang dapat kerja-kerja penyelenggaraan di Petronas Sungai Udang.

“Insya-Allah dengan cara ini setiap tahun kita boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak setiap tahun untuk satu-satu tempoh supaya anak Melaka dapat menikmati peluang pekerjaan dalam bidang ‘oil and gas’.

“Dan untuk pekerjaan ini memerlukan beberapa syarat, tunjuk ajar dan saya yakin peluang pekerjaan ini jika dimanfaatkan seelok-eloknya, jumlah mereka yang menganggur di negeri ini akan berkurangan,” katanya dalam wawancara bersama Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, koperasi di bawah MGBM akan turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk membuka satu ruangan perniagaan khusus kepada golongan belia yang mahu berniaga.

“Di bawah Koperasi MGBM dengan kerjasama MBMB, kita akan membuka satu tapak ruang perniagaan di Melaka Raya pada setiap Jumaat hingga Ahad sebagai usaha membantu menaikkan sektor perniagaan dalam kalangan belia di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1603
Kongsi :
Previous post Syarikat penerbangan perlu pastikan penumpang isi MySejahtera, ada kad pengembara
Next post Ramadan tiba, umat Islam Malaysia mula berpuasa Ahad
Ubah saiz-+=