61 acara untuk rancakkan semula pelancongan Melaka – KM
JOHOR BAHRU 26 Mac – Festival Semarak Pelancongan Melaka 2022 di Johor Bahru, Johor menjadi pembukaan kepada ‘roadshow’ promosi pelancongan yang akan dilaksanakan di seluruh negara oleh Tourism Melaka melalui kempen ‘Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022’.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, berharap pembukaan sempadan negara 1 April ini, dapat menyemarakkan semula industri pelancongan tempatan, sekali gus membantu pemulihan ekonomi dengan menjalani norma-norma baharu dalam fasa endemik COVID-19.
Berikutan itu pemain industri seluruh negara dan agensi berkaitan digesa agar bekerjasama dalam usaha untuk bersama-sama mengaktifkan semula sektor pelancongan tempatan.
Sulaiman berkata semasa negara berada dalam fasa pemulihan COVID-19 tahun lalu, Melaka menerima 2.67 juta pelancong dan pada tahun 2022 di fasa endemik pelbagai acara, promosi dan pakej menarik ditawarkan untuk mencapai sasaran kunjungan 5.6 juta pelancong.
“Kerajaan Negeri Melaka merancang untuk melaksanakan 61 acara pelancongan sepanjang tahun dengan 12 daripadanya adalah acara pelancongan utama. Justeru, para pelancong dialu-alukan untuk menyertai kesemua acara pelancongan ini di Negeri Melaka.
“Bagi menghargai pelancong seluruh negara, Kerajaan Negeri melalui Tourism Melaka mengambil inisiatif memperkenalkan Kempen Promosi ‘Melaka for Malaysian 1.0’ bertujuan untuk memulihkan sektor pelancongan negeri selain menarik lebih ramai pelancong.
“Melalui kempen ini, semua rakyat Malaysia berpeluang bercuti di Melaka dengan pelbagai tawaran istimewa yang menanti anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka dan Pelancaran Kempen Promosi ‘Melaka For Malaysia 1.0’ di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan EXCO Pelancongan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Jelasnya, Melaka menyediakan 12 pakej pelancongan menerusi MATTA Melaka Chapter yang ditawarkan oleh 18 konsortium ejen kembara pelancongan Negeri Melaka.
Selain itu katanya, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka, Persatuan Bajet Hotel (MyBHA) Melaka dan Persatuan Pemilik Homestay Negeri Melaka turut menawarkan pakej penginapan diskaun sehingga 50 peratus.
“Bukan itu sahaja, tempat-tempat tarikan di Melaka juga menawarkan diskaun sehingga 50 peratus di mana para pelancong boleh menerokai Melaka dengan harga yang lebih berpatutan. Terdapat juga pakej yang ditawarkan seperti Beli 1 Percuma 1 (Buy One Free One).
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya juga menyeru kepada semua penggiat industri pelancongan Negeri Johor dan Negeri Melaka agar sentiasa menyokong kempen promosi ini di samping memilih Melaka sebagai Destinasi MICE (Meeting, Incentive, Convention & Exhibition) yang utama di Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.