617 mangsa kemalangan kembali memandu
DURIAN TUNGGAL 19 Disember – Kira-kira 617 mangsa kemalangan kembali memandu selepas mengikuti program rehabilitasi dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Program Rehabilitasi Memandu dan Menunggang Motosikal atau dikenali sebagai ‘Return To Drive’ merupakan satu program terapi untuk membantu individu yang kehilangan upaya disebabkan strok, kelumpuhan, atau kehilangan anggota badan untuk kembali memandu dengan selamat.
Beliau berkata, program diperkenalkan sejak 2018 dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membolehkan mangsa kemalangan yang mencarum Perkeso mengikuti terapi cara kerja dengan menjalankan penilaian pra-memandu dan menunggang kenderaan secara ‘off road’ menggunakan simulator pemanduan dan latihan ‘on road’ pada kenderaan yang telah dimodifikasi.
“Seramai 881 pencarum telah mengikuti program ini dan 70 peratus daripadanya telah memenuhi standard dan keperluan JPJ di mana mereka telah ‘Fit To Drive’ membolehkan mereka memandu atau menunggang kenderaan dengan selamat.
“Menerusi jumlah itu 65 peratus atau 402 yang telah lulus merupakan penunggang motosikal manakala selebihnya adalah pemandu kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sambutan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya (WDoR) 2023 diadakan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr. Azlan Darus; Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.
Dalam pada itu, beliau berkata, program kerjasama antara dua agensi itu sekali gus dapat membantu pencarum berikhtiar meneruskan kehidupan mereka setelah ditimpa musibah.
Katanya, menerusi program itu secara puratanya peserta akan menjalani latihan sekitar 42 hingga 90 hari bergantung kepada kadar kecederaan yang dialami.
“Mereka akan menjalani penilaian seperti mana yang ditetapkan JPJ dari sudut ketangkasan dan refleksi daripada mereka untuk mereka kembali memandu dengan selamat.
“Kita menjalankan program ini bertujuan supaya mereka dapat kembali menjalankan kehidupan asal mereka untuk mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.