688 kes denggi direkodkan pada ME 32

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KOTA LAKSAMANA 17 Ogos – Sejumlah 688 kes denggi direkodkan di negeri ini sepanjang Minggu Epid (ME) ke-32 yang berakhir pada Sabtu lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu merekodkan peningkatan 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 329 kes.

Beliau berkata, daerah Melaka Tengah merekodkan kes tertinggi dengan 507 kes, diikuti Jasin sebanyak 106 kes manakala Alor Gajah pula dengan 75 kes.

“Faktor peningkatan ini mungkin juga disebabkan pekerja asing yang menyewa di pangsapuri di negeri dan ini menjadi antara cabaran dalam menangani kes denggi.

“Sehubungan itu saya akan meminta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk turun ke kawasan yang menjadi tumpuan warga asing tinggal bagi menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetahui operasi khas cegah denggi di Pangsapuri Kota Laksama, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksama Low Chee Leong dan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah Dr Noor Aizam Mohd Said.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga turut meminta kerjasama persatuan penduduk khususnya untuk bergerak aktif dalam memastikan persekitaran tempat tinggal berada dalam keadaan bersih serta indah.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, selain penduduk persatuan penduduk dan juga badan bukan kerajaan (NGO) juga hendaklah bersama-sama menjaga kebersihan.

“Selain kehadiran bekas takungan air yang boleh membawa kepada tempat pembiakan nyamuk aAedes perlu dihapuskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Pangsapuri Kota Laksama diisytiharkan menjadi lokaliti wabak baharu pada Isnin lalu.

“Ini menyaksikan kes dilaporkan dan kawasan ini memang kerap berlaku wabak iaitu antara empat hingga 10 kes sejak 2017 hingga tahun lalu.

“Menjelang menyambut Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 kebersihan menjadi tumpuan utama kita jadi semua pihak perlu memainkan peranan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post Melaka sasar pelaburan bernilai lebih RM8.2 billion tahun ini
Next post Semangat kibar Jalur Gemilang masih kurang, tingkatkan kempen
Ubah saiz-+=