Sorting by

×

7 AGENDA PACU MELAKA LESTARI, MAJU – KM

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Kerajaan Negeri menggariskan tujuh agenda dalam memacu kelestarian dan kemajuan Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua agenda itu meliputi segenap dimensi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, agenda pertama adalah memacu ekonomi berdaya saing dan mesra pelabur dengan memberi penekanan kepada indusri berteknologi tinggi dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Melaka.

Jelas beliau, agenda kedua adalah merancakkan sektor pelancongan dengan menggerak usaha mempelbagaikan produk pelancongan merangkumi pelbagai segmen dan seterusnya menggamit kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

“Agenda ketiga menekankan kepada melestarikan pembangunan mampan dan infrastruktur, di mana setiap pembangunan di Melaka perlu ditunjangi prinsip kelestarian bagi memastikan bumi bertuah ini menikmati kemajuan yang seimbang dan mampan.

“Kerajaan Negeri turut memfokuskan kepada pemerkasaan pertanian dan menjamin sekuriti makanan sebagai agenda keempat memandangkan pertanian terus menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka dengan nilai RM4.7 bilion melibatkan 9,852 petani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, agenda kelima adalah memartabatkan pendidikan, memperkasa TVET, belia dan teknologi pendigitalan dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu kemenjadian murid dan pelajar di negeri ini bukan sahaja dalam bidang akademik, malah meliputi pendidikan ukhrawi.

Menurut Ab Rauf, memartabatkan syiar Islam turut menjadi agenda dalam memacu kemajuan Melaka, di mana Kerajaan Negeri sentiasa berpegang teguh dalam memelihara syiar Islam, agar negeri ini benar-benar menjadi sebuah baldatun
tayyibatun wa rabbun ghafur, negeri yang berkat, sejahtera dan dirahmati Allah SWT.

“Agenda terakhir adalah menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat menerusi pelbagai bantuan, insentif serta program seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menyentuh denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

550
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA MODUL PENDIDIKAN ISLAM UNTUK MURID BERKEPERLUAN KHAS
Next post FAN BINGBING TERUJA, SEDIA PROMOSI PELANCONGAN MELAKA