8 tapak parkir disediakan pada malam sambutan TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Disember – Jalan Tun Mutahir akan ditutup selama empat hari bermula esok hingga 1 Januari 2024 bagi melancarkan Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Dan Ambang Tahun Baharu 2024.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Jalan Tun Mutahir akan ditutup bermula jam 6 petang esok hingga 8 pagi pada 1 Januari 2024.

“Penutupan Jalan Tun Mutahir akan bermula dari simpang bangunan Maybank Jalan Hang Tuah hingga ke persimpangan lampu isyarat Pengkalan Rama, berikutan itu pengguna diminta untuk menggunakan laluan alternatif yang lain.

“Sementara itu laluan persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ali masih boleh dilalui dan aliran trafik dihalakan ke Jalan Tun Mamat, Jalan Graha Maju dan Jambatan Jalan Persisiran Bunga Raya (The Shore),” katanya.

Menurutnya, bagi memudahkan pengunjung yang ingin bersama-sama memeriahkan sambutan, sebanyak lapan kawasan parkir disediakan iaitu di Medan Selera Tun Ali, Jalan Graha Maju, Jalan Tun Mamat, Pusat Transformasi Bandar (UTC), parkir Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama, Jalan Lagenda, Pasaraya Aeon Mall dan Pasaraya Lotus.

“Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan bas percuma iaitu Bas Panorama yang disediakan di Jalan Lagenda bermula jam 6 petang 31 Disember hingga 1 pagi, 1 Januari 2024.

“Justeru pengguna jalan raya khususnya diingatkan agar untuk sentiasa mematuhi arahan penguatkuasa yang bertugas selain dinasihat untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan selain boleh menghubungi talian hotline IPD Melaka Tengah di talian 06-2841999 bagi sebarang pertanyaan,” katanya.

Menurut Christopher, seramai 207 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran majlis sambutan serta keselamatan pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6047
Kongsi :
Previous post KIAM’23 peluang asnaf jana pendapatan
Next post Pendidikan fleksibel sepanjang hayat
Ubah saiz-+=