Pendidikan fleksibel sepanjang hayat

Masa Membaca:3 Minit, 18 Saat

BUKIT BARU 28 Disember – Selama 23 tahun menyumbang dalam mendemokrasikan pendidikan tinggi, Open University Malaysia (OUM) terus menjadi peneraju bidang pendidikan dalam talian dengan menyediakan pembelajaran yang fleksibel kepada pelajarnya.

Pembelajaran fleksibel telah membuka banyak peluang kepada individu dari pelbagai lapisan masyarakat untuk menyambung pengajian. Mereka termasuk lepasan sekolah, usahawan, warga kerja, warga emas, OKU, dan juga penghuni penjara, selari dengan motonya, ‘Universiti Untuk Semua’.

Dengan mod pengajian dalam talian, OUM menjadi pilihan ramai kerana pembelajaran yang fleksibel dan mudah diakses. Tempoh pengajian boleh dirancang mengikut kesesuaian komitmen semasa. Pembelajaran dalam talian memberikan kebebasan untuk belajar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu menghadiri kelas secara fizikal. Pelajar boleh membuat tugasan bila ada kelapangan, tanpa mengganggu aktiviti harian.

Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Melaka, Profesor Madya Norhaiza Ishak berkata, pembelajaran secara maya yang memberikan kebebasan kepada pelajar tanpa perlu menghadiri kuliah secara bersemuka dan kadar yuran berpatutan juga antara faktor universiti itu kini menjadi pilihan ramai.

“Pembelajaran dalam talian ini bermula sejak pandemik COVID-19, ia diteruskan sampai sekarang. Pelajar tidak perlu lagi hadir ke kelas, semuanya berlangsung menerusi aplikasi ‘Google Meet’ termasuklah penghantaran tugasan, pembentangan dan peperiksaan.

“Apa yang menarik pembelajaran di sini amat fleksibel dan tidak membebankan pelajar apabila kehadiran tidak diwajibkan dan mereka boleh melihat rakaman video pembelajaran pada bila-bila masa. Manakala untuk peperiksaan, pelajar boleh menduduki dan menjawab peperiksaan tanpa perlu hadir ke pusat pembelajaran,” katanya ketika ditemui di Pusat Pembelajaran OUM Melaka, Bukit Baru.

Menurutnya, tempoh pengajian juga boleh dipendekkan menerusi APEL.C iaitu pindahan kredit menggunakan pengalaman kerja. Ini menjimatkan masa lalu mengurangkan kos pengajian.

“Ternyata OUM menawarkan peluang pendidikan fleksibel sepajang hayat apabila tempoh pengajian boleh dirancang mengikut kesesuaian komitmen semasa tanpa perlu mengubah rutin harian dengan mendadak kerana mahu fokus kepada akademik. Selain itu bahan rujukan bagi semua kursus boleh diakses 24 jam.

“Tenaga pengajar berpengalaman membabitkan pelbagai latar belakang akademik dan juga pemain industri antara kekuatan kami. Ahli akademik ini sedia membimbing dan memberikan taklimat serta berinteraksi menerusi sesi virtual dari semasa ke semasa,” katanya.

OUM menawarkan 55 pilihan program bermula daripada peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) di bawah 4 fakulti iaitu Fakulti Teknologi dan Sains Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Fakulti Pendidikan serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Antara program yang menunjukkan trend kemasukan yang tinggi ialah program Diploma Lepasan Ijazah dalam Pengajaran (DPLI) iaitu sijil ikhtisas perguruan yang mengambil masa setahun. Ramai graduan DPLI ini telah berjaya diserapkan ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Malahan, guru-guru yang berkhidmat di sekolah swasta serta sekolah antarabangsa turut mengambil peluang mendapatkan sijil profesional ini untuk menjadi guru yang bertauliah.

Di samping itu, dua program dalam bidang sains kesihatan iaitu Sarjana Muda Sains Kejururawatan (Bachelor of Nursing Science) dan Sarjana Muda Sains Perubatan dan Kesihatan (Bachelor of Medical and Health Sciences) telah memberi peluang kepada Jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan (Assistant Medical Officer) untuk meningkatkan potensi dan kemahiran dalam bidang mereka.

Program yang selaras dengan kehendak industri seperti Sarjana Muda Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Bachelor of Occupational Safety and Health) dan Sarjana Pengurusan Projek (Master of Project Management) turut mendapat sambutan baik dari warga kerja di industri terutamanya pembuatan dan pembinaan

Menurutnya, setiap tahun OUM mempunyai tiga kemasukan iaitu pada bulan Januari, Mei dan September dengan yuran pendaftaran RM230 bagi Diploma dan Bacelor, manakala peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah RM550.

Jelasnya, OUM mementingkan kualiti dan ia terbukti menerusi pelbagai anugerah diterima seperti Putra Brand Award dan QS Rating System-5 Bintang untuk Pembelajaran Dalam Talian.

Untuk makluman juga kesemua program yang ditawarkan di OUM diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Apa yang istimewanya di OUM kita bukan sahaja fleksibel daripada segi pembelajaran dan pembayaran, malah khas untuk OKU dan warga emas kita menawarkan potongan 50 peratus yuran pengajian,” katanya.

Menurutnya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi terus talian 06-2921852 atau Whatsapp ke 019-2181851/019-2663628, selain boleh melayari laman web www.oum.edu.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1093
Kongsi :
Previous post 8 tapak parkir disediakan pada malam sambutan TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu
Next post Zon Bebas Kenderaan: 13 lokasi parkir kenderaan disediakan
Ubah saiz-+=