8,000 kes penipuan dalam talian sepanjang pandemik – KPDNHEP

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SUNGAI UDANG 21 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 8,000 kes penipuan dalam talian di seluruh negara bagi tempoh Januari 2021 hingga Ogos lalu.

Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNHEP, Adiratno Che Ani berkata, mengikut rekod pihaknya menerima 20,000 pelbagai jenis aduan sepanjang tempoh sama dan 8,000 adalah membabitkan penipuan dalam talian.

Jelasnya, kes itu dikesan berlaku sejak negara dilanda pandemik COVID-19 dan ramai mangsa yang diperdaya hingga melakukan transaksi wang secara dalam talian.

Berikutan itu pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani kes penipuan dalam talian atau ‘scammer’.

“Ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian sewaktu pandemik, jadi kita akan duduk bersama PDRM untuk lihat bidang kuasa kementerian dalam menangani perkara ini.

“Kita sedang mencari kaedah yang sesuai untuk tangani kes ini, cuma yang dapat kita buat masa sekarang adalah mendidik orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Cabaran Interaktif Pengguna (CIP) Kelab Pengguna Sekolah Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Melaka Tropical Fruit Farm di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Negeri Melaka, Norena Jaafar.

Adiratno berkata, modus operandi scammer adalah mempermainkan emosi dan menakutkan mangsa hingga mereka melakukan transaksi wang.

Berikutan itu beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutama menerima panggilan kononnya daripada jabatan kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2114
Kongsi :
Previous post Mantan Ketua Menteri Melaka ke-5 meninggal dunia
Next post Usaha Kesan mangsa kedua runtuhan kuari sedang giat dijalankan – Polis
Ubah saiz-+=