8,000 pengguna daftar Sistem Wakaf Tunai Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Mac – Seramai 8,000 umat Islam sudah mendaftar dan memanfaatkan Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) sejak diperkenalkan pada Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, platform digital dibangunkan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) itu selari dengan perkembangan dan perubahan teknologi semasa.

“SWTM adalah satu sistem komprehensif dan menjadi ‘one stop centre’ bagi pemerkasaan amalan berwakaf secara tunai di Malaysia.

“Setakat ini 8,000 sudah mendaftar dengan SWTM dan diharapkan jumlah itu akan terus meningkat. Saya percaya sistem digital ini mampu memperkasa dan memudahkan lagi urusan umat Islam,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau yang diiringi Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis menyempurnakan pelancaran SWTM.

Menurut Mohd Na’im, platform digital itu membolehkan umat Islam melaksanakan pewakafan tunai secara ‘one off’, permohonan berwakaf secara potongan gaji bulanan bagi penjawat awam persekutuan dan semakan transaksi.

“Platform digital ini dibangunkan YWM ini bertujuan menggalakkan masyarakat untuk berwakaf selain saya berharap ia akan menjadi medium bayaran yang memudahkan pewakaf,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

505
Kongsi :
Previous post Tingkat ciri keselamatan THiJARI, lindungi wang pendeposit
Next post Dakwa TMM2024 kurang promosi, KM bidas ketua pembangkang
Ubah saiz-+=