Dakwa TMM2024 kurang promosi, KM bidas ketua pembangkang

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Dakwaan Ketua Pembangkang kononnya Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kurang promosi dibidas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, kenyataan oleh Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) adalah tidak berasas rentetan daripada kejayaan pelbagai penganjuran yang diadakan sepanjang dua bulan pertama TMM2024.

Ketua Menteri berkata, antara bukti menunjukkan kejayaan kempen promosi TMM2024 ialah apabila puluhan ribu pengunjung membanjiri program-program anjuran Kerajaan Negeri, seperti contoh pada 20 Februari lalu yang menyaksikan ratusan ribu pengunjung dan pelancong menikmati produk pelancongan disediakan di Negeri Melaka.

“Di dalam dunia ini ada ramai yang buta hati, buta IT. Bagaimana (Ketua Pembangkang) boleh tidak tahu Melaka dipenuhi dan sesak dengan pengunjung dan pelancong. Daripada pelancaran TMM2024 dihadiri lebih 50,000 kemudian malam 20 Februari pula dipenuhi 45,000 pengunjung dan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina lebih 30,000 orang.

“Macam mana dia (ketua pembangkang) boleh tak tahu? Katanya ada turun ke lapangan, saya sendiri tidak pasti lapangan mana yang dia pergi dan itu menimbulkan tanda tanya saya.

“Tapi sudah nama pun pembangkang, sudah pasti semua yang kita buat tak betul, tapi saya tidak mahu ambil hati. Cuma saya harap fakta itu biarlah tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Photo1708441193
SUASANA kemeriahan pengunjung dan pelancong pada sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Ab Rauf dalam tempoh 68 hari penganjuran TMM2024 bermula 1 Januari lalu, sektor pelancongan Negeri Melaka menerima tempias cukup positif.

Jelas beliau, ia dapat dilihat apabila hasil tinjauan dilakukan ke atas pengusaha hotel di negeri ini, rata-rata mereka memaklumkan telah menerima peningkatan 30 peratus tempahan berbanding sebelum ini.

“Dengan pelbagai tawaran hadiah kepada pengunjung dan pelancong bertuah diwar-warkan ia secara tidak langsung membantu kepada perkembangan positif sektor pelancongan.

“Tambahan lagi, Februari lalu bermulanya cuti penggal persekolahan, ia turut menggamit kehadiran pelancong khususnya mereka yang bermalam di Negeri Melaka.

“Insya-Allah selepas raya nanti, kita akan bawakan lebih banyak tarikan yang dapat memberikan kebaikan kepada pengunjung dan pelancong sempena kempen TMM2024,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post 8,000 pengguna daftar Sistem Wakaf Tunai Malaysia
Next post Koh Nai Kwong dilantik semula Ahli Dewan Negara
Ubah saiz-+=