Tingkat ciri keselamatan THiJARI, lindungi wang pendeposit

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Mac – Ciri keselamatan perkhidmatan digital THiJARI milik Lembaga Tabung Haji (TH) perlu ditingkatkan bagi mengelakkan wang pendeposit daripada lesap akibat diperdaya oleh sindiket penipuan (scammer).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman juga sudah diminta untuk mengambil tindakan segera berhubung tahap keselamatan THiJARI.

“Susulan kejadian dilaporkan sebelum ini, TH sudah membuat laporan dan akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes penipuan membabitkan aplikasi THiJARI.

“Justeru, TH perlu meningkatkan lagi tahap keselamatan supaya wang pendeposit terjamin. Saya percaya kita mampu untuk mengelak mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024, di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Photo1709710261
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Menurut Dr. Mohd Na’im, selain peranan TH sendiri, pendeposit juga diingatkan supaya lebih berwaspada dan berhati-hati jika menerima pautan yang mencurigakan.

Terdahulu, media pada 14 Februari lalu melaporkan seorang peniaga di Kelantan mengalami kerugian berjumlah RM692,500 apabila wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji (TH) miliknya lesap.

Manakala dalam kejadian terbaharu semalam, seorang bilal masjid di Hulu Selangor berputih mata apabila wang simpanan akaun TH miliknya berjumlah RM12,000 didakwa dipindah tanpa kebenaran bulan lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post Tiga negeri Jelapang Padi Selatan
Next post 8,000 pengguna daftar Sistem Wakaf Tunai Malaysia
Ubah saiz-+=