
81 RUMAH DISANTUNI SEMPENA WRUR REMBIA
BANDARAYA MELAKA 31 Julai – Program sentuhan rakyat terus diperkasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia apabila sebanyak 81 rumah bakal disantuni dalam program Ziarah Kasih, iaitu salah satu program utama di bawah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program itu memberi fokus kepada golongan asnaf, B40 dan mereka yang memerlukan dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Melalui Ziarah Kasih bersama portfolio kebajikan negeri, kita senaraikan 81 rumah untuk diziarahi. JKM turut bersama untuk membantu dari segi pemberian bantuan kebajikan.
“Ini bukan melengahkan permohonan terdahulu, tetapi kita juga mengambil peluang untuk selesaikan permohonan baharu di peringkat WRUR DUN Rembia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Bicara Santai WRUR DUN Rembia Bersama Datuk Fairul Nizam Roslan di MelakaFM, di sini, hari ini.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, terdapat sebahagian daripada permohonan berkenaan telah diluluskan JKM yang mana akan membawa berita gembira kepada masyarakat setempat.
“Selain ziarah kasih, pelbagai program lain turut dirancang sepanjang WRUR DUN Rembia termasuk kerjasama dengan sekolah, pendedahan teknologi dan kesedaran ‘anti-scam’ kepada warga emas bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.