85,134 tan sisa banjir dibersihkan di enam negeri terjejas banjir

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

MUAR, 16 Jan – Sebanyak 85,134 tan sisa banjir telah dibersihkan di enam negeri yang terjejas bencana itu, setakat semalam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata kerja-kerja pembersihan membabitkan negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Selangor telah mencapai 98 peratus, manakala Johor mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata untuk semalam sahaja, sebanyak 438 tan sisa banjir dibersihkan melibatkan 112 jentera dan 354 pekerja di bawah seliaan SWCorp (SWM Environment Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan E-Idaman).

“Sebanyak 48,589 tan sisa banjir dibersihkan di Selangor; 34,100 tan di Pahang; 1,400 tan di Negeri Sembilan; 630 tan di Kuala Lumpur dan 139 tan di Melaka.

“Manakala di Johor, sebanyak 275.63 tan sisa banjir dibersihkan sehingga semalam,” kata beliau kepada pemberita ketika Operasi Mega Pembersihan Pascabanjir di Johor di Kampung Baru Lenga, dekat sini, hari ini.

OPERASI mega pembersihan pasca banjir di Negeri Johor yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Haji Ismail Haji Abd Muttalib, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Foto SW Corp

Menurut Ismail lagi ketika pascabanjir, kementeriannya telah membelanjakan sebanyak RM117.5 juta untuk pelbagai program pemulihan.

Antaranya pemulihan fasiliti awam melibatkan kos sebanyak RM50 juta dan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM50 juta bagi baik pulih rumah rosak dan bina rumah baharu.

Selain itu, bagi kerja-kerja pembersihan sisa banjir membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan dan RM5 juta lagi adalah untuk Bantuan Bakul Bencana.

“Pihak kementerian juga akan mengumpul dan mengemas kini data, memandangkan ada beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dan menjangkakan akan menambah jumlah peruntukan untuk program pemulihan pascabanjir ini.

“Proses mengumpul dan mendapatkan data terkini ini juga akan melibatkan pelbagai pihak seperti pejabat daerah, PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1116
Kongsi :
Previous post Seorang lagi lelaki lemas di Melaka
Next post Jualan Keluarga Malaysia: Harga berpatutan, barang jualan segar
Ubah saiz-+=