Jualan Keluarga Malaysia: Harga berpatutan, barang jualan segar
AYER MOLEK 16 Jan – “Semalam saya dah datang seorang hari ini bawa suami pula, Alhamdulillah harga barangan berpatutan dan sayur yang dijual juga segar”.
Itu reaksi Ruziah Abdul Latif, 60, yang memilih untuk membeli barangan keperluan harian menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Ayer Molek, hari ini.
Katanya biarpun program itu diadakan hanya dua hari, namun ternyata memberi kepuasan kepada pelanggan kerana harga barangan dijual lebih berbaloi.
“Program ni bagus (kerana) harga berpatutan lagipun boleh bantu peniaga kecil dan kita pun pelanggan boleh dapat sayuran segar.
“Tidak dinafikan ada juga barang yang sedikit mahal harganya, tapi tidak semua malah udang segar pun harga masih berpatutan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, hari ini.
Manakala Zaini M. Thani, 47, turut meluahkan nada yang sama dengan adanya PJKM dia dapat membeli barang untuk berniaga pada harga yang lebih murah.
“Ini pertama kali saya datang (selepas) anak cakap ada pasar dekat sini jadi datang nak beli telur tapi tiada, jadi akak beli barang lain seperti pisang mentah.
“Biasanya di luar sekilogram RM4 ke RM4.50, tapi di sini hanya RM3, memang berbaloi sebab saya berniaga jadi tak perlulah letak harga lebih mahal jika nak jual nanti.
“Kalau boleh anjurkan selalu program begini, bukan hanya dapat bantu peniaga malah pengguna yang ingin membeli barang keperluan,” katanya.
Sementara itu, peniaga Noor Ashikin Idris, 52, bersyukur hari terakhir berniaga menerusi PJKM mendapat sambutan memberangsangkan dari pelanggan.
Ujarnya, jualannya habis dijual dalam beberapa jam sahaja sebaik sahaja memulakan jualan seawal jam 8 pagi.
“Semalam mula niaga dari jam 8 pagi tapi 7.45 pagi tu dah orang mula datang, 12.30 ke 1 tengahari semua jualan dah habis.
“Dari segi harga memang berpatutan, kita memang tak jual harga tinggi, setakat ni orang yang datang membeli semua okay tiada masalah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.