91,000 WARGA PAYA RUMPUT RASAI KASIH SAYANG TOK RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap suara rakyat didengari apabila kepimpinan negeri turun sendiri ke lapangan menyantuni masyarakat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan berkenaan memberi impak besar kepada kira-kira 91,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput apabila pelbagai keperluan, aduan serta aspirasi rakyat dapat diteliti secara lebih dekat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput itu, siri jelajah yang memasuki siri ketujuh berkenaan membawa pelbagai manfaat menerusi pelaksanaan projek, inisiatif dan penyampaian bantuan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Sepanjang hampir empat jam siri jelajah ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama barisan Exco telah turun sendiri ke beberapa lokasi dalam DUN Paya Rumput bagi menyantuni rakyat dan meninjau pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan.

“Antara tumpuan utama jelajah kali ini ialah pembentangan Inisiatif Kubur Digital Negeri Melaka, yang menjadi antara agenda transformasi digital terbesar hasil ilham Ketua Menteri dan ia telah dilaksanakan di tanah perkuburan Islam Kampung Krubong.

“Selain itu, beberapa kawasan seperti Kampung Bukit Datuk B, Taman Krubong Perdana, Kampung Paya Rumput juga turut merasai pelbagai limpahan manfaat yang dibawa oleh Ketua Menteri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Paya Rumput yang disempurnakan Ab Rauf di Kompleks As-Solihin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Selain itu, beliau berkata, Ketua Menteri turut menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM270,000, yang memanfaatkan hampir 1,000 ketua isi rumah, dengan setiap keluarga menerima sumbangan RM300 bagi meringankan beban mangsa terjejas.

“Malah, walaupun dengan jadual yang sangat padat, Ketua Menteri juga sempat meluangkan masa bersama anak-anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput bagi melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan mural Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat,” ujarnya.

Mengulas mengenai kepentingan siri jelajah itu, Rais berkata program berkenaan melengkapkan pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang telah memasuki siri ke-25 di seluruh Melaka.

“Jelajah ini sangat penting kerana ia menjadi timbal balik kepada WRUR. Selepas semua jabatan turun menyelesaikan aduan rakyat, Ketua Menteri pula datang sendiri melihat bagaimana tindakan itu dilaksanakan dan bagaimana reaksi rakyat terhadap penyelesaian yang diberikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post RM150,000 LAMBANG KASIH SAYANG TOK RAUF UNTUK ORANG PAYA RUMPUT
Next post MELAKA LAKSANA PROJEK RM7 JUTA KURANGKAN RISIKO BANJIR KILAT DI DUN PAYA RUMPUT