Chin Aun, Rameli kecewa Piala Malaysia batal

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MELAKA 13 Nov. – Bekas pemain bola sepak Olimpik negara kecewa dengan keputusan kerajaan membatalkan saingan Piala Malaysia 2020.

Namun, masing-masing melihatnya dengan pandangan terbuka dan telah menjangkakan keputusan itu susulan penularan wabak COVID-19.

Walaupun kecewa legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun berkata, demi kesihatan sejagat, saingan elit itu lebih baik dibatalkan sementara.

Katanya, perang melawan COVID-19 lebih mustahak, memandangkan jangkitannya di seluruh negara masih lagi belum diatasi.

“COVID-19 lagi mustahak, kalau tak dikawal berkemungkinan situasi semasa lebih teruk.

“Isu kesihatan buat masa ini adalah lebih penting berbanding saingan Piala Malaysia, walaupun kecewa namun saya yakin ia merupakan keputusan yang sukar kerajaan untuk memutuskannya,” katanya ketika dihubungi.

Jelas rakannya, Rameli Junit pula, beliau telah menjangkakan pembatalan saingan elit itu apabila penularan pandemik itu kembali berada di tahap membimbangkan.

“Perlawanan bola sepak telah saya jangkakan ia dibatalkan, memandangkan situasi semasa agak membimbangkan.

BEKAS pemain Olimpik negara Rameli Junit. Foto internet

“Bukan saya sahaja yang kecewa ia dibatalkan, tetapi ramai lagi yang merasai sedemikian, memandangkan ia antara saingan yang ditunggu,” katanya ketika dihubungi.

Chin Aun dan Rameli masing-masing merupakan rakan pasukan yang pernah menyarung jersi kebangsaan ke Sukan Olimpik Moscow 1980, namun Malaysia kemudiannya menarik diri dari temasya sukan itu kerana memboikot serangan ke atas bumi Afghanistan.

Kerajaan baru-baru ini memutuskan untuk menangguhkan perlawanan bola sepak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas mengambil kira bahaya kepada pemain dan krew terbabit.

Dan sehubungan itu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam menerusi kenyataan mengumumkan keputusan sepakat untuk membatalkan kejohanan itu tahun ini selepas rayuan meneruskan temasya itu ditolak Majlis Keselamatan Negara.

Views:

1020
Kongsi :
Previous post Geng Ayip Gagap tumpas
Next post 22 kawasan alami gangguan air
Ubah saiz-+=